suria

Nik Aziz Ubah Sedikit Saranan Doa Bala Untuk Najib

KOTA BAHARU: Setelah dikecam hebat kerana meminta orang ramai secara umum mendoakan keburukan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak jika Perdana Menteri tidak memberikan royalti minyak kepada Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menukar sedikit saranannya itu dengan meminta agar doa itu dibuat secara individu.

"Oleh kerana Perdana Menteri terasa hati bahawa sebut nama dia dalam doa, maka saya minta tidak sebut secara beramai-ramai, hanya disebut bersendirian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Beliau sebelum ini meminta orang ramai mendoakan agar Najib mengubah fikiran supaya memberikan royalti minyak itu, dan jika Perdana Menteri gagal berbuat demikian, orang ramai hendaklah mendoakan supaya Najib "ditimpa kemusnahan".

Berikutan kenyataannya itu, pelbagai pihak telah mengutuk beliau, dan semalam, 1,000 orang berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran Kota Darulnaim di sini untuk secara terbuka menunjukkan rasa tidak senang hati mereka.

Dalam reaksinya sebelum ini, Najib berkata beliau tidak faham kenapa doa sedemikian perlu dibuat kerana kerajaan pusat telah membantu kerajaan Kelantan dengan menyediakan wang ihsan dan peruntukan lebih RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan walaupun negeri itu tidak diperintah oleh Pas.

Perdana Menteri juga berkata Nik Aziz perlu sedar bahawa umat Islam melihat hasrat untuk mendoakan keburukan orang lain itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat Islam. Nik Abdul Aziz berkata beliau kesal dengan pihak yang membesarbesarkan isu doa itu sehingga mencetuskan kekeliruan. Beliau menjelaskan permintaan doanya pada peringkat awal ini adalah untuk meminta Tuhan mengubah hati Perdana Menteri supaya memberikan royalti minyak kepada Kelantan, dan jika itu gagal, barulah dibuat doa minta bala terhadap Najib.

"Jika tak beri barulah kita doakan kepada kemusnahan. Saya nak minta dia bayar royalti. Takkan orang buat kita, kita nak dok diam," katanya. BERNAMA

Artikel Lain