suria

Mesyuarat Agung MCA Ditangguhkan - Chua

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan MCA, yang dijadualkan pada 5 Disember ini ditangguhkan ke satu tarikh yang sesuai, dan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji pemilihan semula parti.

Keputusan ini dicapai pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat MCA yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang berlangsung selama dua jam di ibu pejabat parti itu sejak pukul 12.30 tengah hari.

Kesemua anggota jawatankuasa itu, kecuali Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat yang sedang menjalani rawatan di hospital, menghadiri mesyuarat hari ini.

Dr Chua pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, berkata keputusan yang dibuat secara sebulat suara oleh anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA merupakan satu titik permulaan daripada segi usaha untuk memastikan perpaduan dan kestabilan parti

"Keputusan ini (menangguhkan mesyuarat agung tahunan) bukan kerana kita tunduk kepada mana-mana pihak, bahkan dibuat bagi kebaikan parti. Sebarang tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat juga belum ditentukan lagi," katanya.

Dr Chua berkata penangguhan mesyuarat agung tahunan itu termasuk juga penangguhan mesyuarat keduadua sayap parti iaitu Wanita dan Pemuda, dan MCA akan menanggung sebahagian kos pengangkutan yang sudah dikeluarkan oleh para perwakilan untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mesyurat agung tahunan MCA dijadualkan pada 4 Dis bagi mesyuarat agung Pemuda dan Wanita dan 5 Dis untuk MCA pusat.

Beliau berkata walaupun Ong tidak hadir pada mesyuarat hari ini, "segala keputusan adalah dalam makluman Presiden dan beliau juga berpendapat mesyuarat agung tahunan ini ditangguh dan bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa khas."

Mengenai jawatankuasa khas pemilihan parti, Dr Chua berkata beliau akan mempengerusikannya bagi meneliti dan menghalusi segala impak berkaitan dengan usaha untuk mengadakan pemilihan parti sama ada hanya untuk peringkat Jawatankuasa Pusat, atau meliputi kedua-dua sayap parti Pemuda dan Wanita MCA.

Jawatankuasa itu diberi tempoh masa dua minggu untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut, katanya.

"Jawatankuasa ini akan menghalusi daripada segi perlembagaan parti, adakah ia (pemilihan) seharusnya melibatkan Wanita dan Pemuda dan tempoh mereka dipilih adakah untuk setahun setengah atau untuk tiga tahun," katanya.

Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh empat naib presiden iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Tan Kok Hong serta Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong, Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun dan Setiausaha Agung Senator Datuk Wong Foon Meng, katanya.

Selain itu, empat anggota Jawatankuasa Pusat iaitu Datuk Seri Tan Chai Ho, Senator Heng Seai Kie, Datuk Liew Yuen Keong dan Gan Ping Sieu serta Ketua Biro Perundangan Lim Hong Chang.

Dr Chua berkata pihaknya akan memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengenai penangguhan mesyuarat agung tahunan itu.

"Perlembagaan parti tidak menyatakan secara spesifik mengenai berapa lama tempoh mesyuarat dapat ditangguhkan tetapi parti boleh memutuskan untuk mengadakan atau melewatkan mesyuarat dan kami perlu memaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan mengenainya," katanya.

Sementara itu, Liow ketika ditemui pemberita berkata keduakedua keputusan yag dibuat hari ini merupakan permulaan yang baik bagi parti.

"Perpaduan dan kestabilan parti amat penting... pemilihan semula parti merupakan satu daripada cara untuk menyelesaikan masalah dan setiap orang melihat ke arah ini, itu sebabnya kami mewujudkan jawatankuasa khas untuk mengkaji perkara ini dan parti boleh maju ke hadapan," kata beliau.BERNAMA

Artikel Lain