suria

Kontraktor Dan Pengurus Dipercayai Dirompak, Mati Ditembak

NUSAJAYA: Seorang kontraktor dan seorang pengurus syarikat mati ditembak, dipercayai bermotifkan rompakan, dalam kejadian di Jalan Tanah Runtuh, di sini, petang ini.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Abdul Aziz Ahmad berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang apabila kontraktor berumur 39 tahun dan pengurus syarikat berumur 43 tahun itu, meninggal dunia apabila cedera ditembak di badan dan kepala.

"Kontraktor dan pengurus di sebuah syarikat di Kulai itu dipercayai baru mengeluarkan wang untuk membayar gaji pekerja mereka.

"Kedua-dua mangsa yang menaiki kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi dipintas dan dihalang oleh sebuah kereta dipercayai jenis Toyota, yang dinaiki dua lelaki bersenjatakan dua pistol," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Abdul Aziz berkata setelah memberhentikan kereta, pengurus berkenaan yang memandu kereta, ditembak di kepala manakala kontraktor terbabit ditarik keluar sebelum ditembak di badan.

Beliau berkata kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota berserta wang yang dirompak itu sebelum berhenti di kawasan belukar di kawasan Lima Kedai, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian, lalu membakar kereta Toyota berkenaan.

Katanya kedua-dua suspek kemudian dipercayai menggunakan kereta lain untuk melarikan diri.

"Kontraktor dan pengurus syarikat berkenaan terbabit dalam beberapa kerja pembinaan jalan raya di sekitar projek pembangunan Iskandar Malaysia. Polis sedang menyiasat jumlah wang yang dilarikan dan motif kejadian tembakan itu secara terperinci walaupun siasatan awal mempercayai ia adalah rompakan," katanya.

Menurut Abdul Aziz, polis sedang memburu kedua-dua suspek dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat kontraktor dan pengurus berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Lain