suria

Kanak-Kanak Lelaki Mangsa Terbaru Banjir Di Kelantan

KOTA BAHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas apabila terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras berikutan banjir kali ketiga yang melanda Kelantan, setelah hujan lebat sejak dua hari lepas.

Mangsa yang dikenali sebagai Wan Muhammad Azafar Wan Ahmad maut ketika bermain bersama sepupunya di Kampung Paloh, Pintu Geng di sini, pada pukul 12.30 tengah hari ini dan kejadian malang itu menjadikan mangsa korban di negeri itu meningkat kepada lima orang.

Sejak awal hari ini, bandar Kota Baharu dilanda banjir kilat dengan ada kawasan rendah dan berdekatan sungai ditenggelami air sedalam 0.3 meter hingga 0.6 meter.

Keadaan banjir itu turut melanda jajahan lain apabila lapan keluarga dari dua jajahan iaitu Tumpat dan Pasir Puteh dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri berkata sehingga kini dua pusat pemindahan dibuka di keduadua jajahan terbabit iaitu di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang di Pasir Puteh dan Sekolah Kebangsaan Kebakat di Tumpat.

"Lapan keluarga membabitkan 36 orang dari jajahan Tumpat dan Pasir Puteh telah dipindahkan manakala di Kota Baharu belum ada pusat pemindahan yang dibuka walaupun mengalami hujan secara sederhana dan kadangkala lebat," katanya kepada Bernama hari ini.

Jurucakap itu berkata sehingga petang ini, hanya Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang, yang berada di paras amaran manakala Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard di paras berjaga-jaga.

Beliau berkata tiada jalan yang ditutup kepada lalu lintas walaupun air mula melimpah di beberapa jalan.

Di Terengganu, kesemua tujuh daerah di negeri itu sekali lagi dilanda banjir kali ketiga dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 1,293 orang sehingga pukul 5 petang ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata daerah terbaru yang dilanda banjir ialah Besut melibatkan 447 penduduk, Setiu (183) dan Kemaman 21 orang.

Setakat ini, katanya daerah Marang dan Besut paling terjejas dan ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan berbanding daerah lain.

Sebanyak 26 pusat pemindahan dibuka di seluruh Terengganu untuk penempatan sementara mangsa-mangsa banjir berkenaan.

Beliau berkata jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Simpang Batu 14, Paka ditutup sebelah lorong kerana ditenggelami air petang ini, namun semua jalan utama lain di negeri itu masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Katanya terdapat 13 jalan negeri ditutup sama ada kepada semua kenderaan atau kenderaan ringan kerana dilimpahi air iaitu masing-masing tiga jalan di Hulu Terengganu dan Setiu, manakala masing-masing dua jalan ditutup di Kuala Terengganu, Marang dan Besut, dan satu di Kemaman.

Jurucakap itu berkata Sungai Setiu dan Sungai Nerus, masing-masing meningkat melebihi paras bahaya manakala sungai-sungai lain, air masih bertahan di paras normal.

Kedudukan air di Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri kini berada pada ketinggian 8.86 meter melebihi paras bahaya (8.5 meter) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit 13.1 meter (bahaya 12 meter) dan di Kampung Langkap 21.9 meter (bahaya 21.5 meter).

Keadaan cuaca di Terengganu mendung dan sekali-sekala hujan lebat sejak beberapa hari lepas.

Artikel Lain