suria

Jualan Langsung: Empat Bekas Pengarah Syarikat Didenda RM151,200

KUALA LUMPUR: Empat bekas pengarah syarikat jualan langsung didenda sejumlah RM151,200 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap 21 pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah.

Majistret NorShakinah Ahmad Kamarudin membuat keputusan itu terhadap S.Jaynathan, 29, Ricky Tan Chee Hui, 30, Cheam Tong Meng, 33, dan Siti Zaiton Aleas, 36.

NorShakinah memerintahkan setiap individu didenda RM7,200 bagi setiap pertuduhan, dan jika gagal, penjara lima bulan.

Jaynathan dan Tan, masing-masing didenda RM21,600 terhadap tiga pertuduhan menjual barangan Smart Kiosk dan mesin air layan diri melalui telefon tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 4(2) Akta Jualan Langsung 1993.

Cheam didenda RM93,600 selepas mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan yang sama, manakala Siti Zaiton didenda RM14,400 terhadap dua pertuduhan yang sama.

Sementara itu, syarikat milik keempat-empat mereka iaitu Waterdrops Holding Sdn Bhd, Waterdrops Cooperation Sdn Bhd, Waterdrops Ventures Sdn Bhd dan Waterdrops Sdn Bhd turut didenda RM52,500 terhadap tujuh pertuduhan menjalankan perniagaan itu tanpa lesen yang sah.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis di Megan Phileo Avanue II, Off Jalan Yap Kwan Seng dan satu lagi premis yang beralamat di The Garden, South Tower Midvalley City, di sini antara 21 April 2007 hingga 13 Julai 2008.

Kesemua mereka yang diwakili peguam Cheow Wee, membayar denda itu.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Noor Liyana Ahmad Marzuki daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan dibantu oleh Nadia Zulkifli serta Nur Shamira Mustafa. BERNAMA

Artikel Lain