suria

Dua Kanak-Kanak Terkena Serpihan Peluru Dilapor Stabil

KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak yang cedera di kaki kanan akibat terkena serpihan peluru daripada selaras senapang patah milik seorang pengawal keselamatan yang terjatuh dan kemudian meletup, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bapa kepada seorang kanakkanak itu Roslan Ahmad, 51, berkata kedua-dua kanak-kanak itu bagaimanapun masih mendapatkan rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang di pejabat cawangan TNB di Jalan Klang Lama di sini semalam, Ahmad Faiz Roslan, 12, dikatakan cedera teruk di ibu jari kanan, manakala sepupunya Muhamad Faris Abdullah, 12, cedera di tapak kaki kanan.

"Kedua-dua mereka kini dalam keadaan baik. Namun saya tidak tahu bila mereka akan dibenarkan keluar dari sini (PPUM) sebab kita kena tunggu laporan perubatan yang dijangka keluar selewat-lewatnya esok," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi berkata pengawal keselamatan berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Pengawal keselamatan terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil semalam dan kita tidak menolak kemungkinan insiden ini berlaku disebabkan kecuaian," katanya.

Artikel Lain