suria

Terengganu Dilanda Banjir Semula, 241 Penduduk Dipindahkan

KUALA TERENGGANU: Berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas, Terengganu dilanda banjir semula dengan 241 penduduk dari tiga buah kampung di daerah Marang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak petang semalam hingga pagi ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata penduduk yang dipindahkan terdiri daripada penduduk Kampung Paya Kijing seramai 168 orang, Kampung Seberang Marang (65) dan Kampung Pulau Kerengga (8).

Beliau berkata setakat ini tiga pusat pemindahan telah dibuka untuk menempatkan mangsamangsa tersebut dengan kebanyakan mereka mula berpindah mulai pukul 6 petang semalam sehingga pagi ini.

Jurucakap itu berkata setakat ini bilik gerakan banjir MKN masih belum dibuka dan hanya akan berbuat demikian apabila banjir berlaku di lebih daripada satu daerah. Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Pengairan (JPS) negeri berkata paras air semua sungai utama di Terengganu masih berada pada tahap biasa.

Banjir musim tengkujuh pertama kali melanda Terengganu awal bulan lalu manakala gelombang kedua yang menyaksikan lebih 10,000 penduduk dari semua daerah di negeri itu terpaksa dipindahkan berlaku sejak 23 November lepas, dan hanya berakhir Ahad lalu.

Setakat ini, tiga kematian dicatatkan akibat banjir melibatkan seorang kanakkanak perempuan berumur sembilan tahun, Tuan Nor Farah Amira Tuan Harun yang lemas ketika bermain di tepi Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, 7 November lalu.

Mangsa kedua melibatkan seorang pelajar berumur 15 tahun dari Kuala Besut, Mohd Syahmi Mohd Yusof yang lemas pada 24 November, manakala mangsa ketiga, Muhammad Aifa Afif Mohd Yusof, 13 dari Marang, lemas ketika mandi bersama rakannya pada 25 November lalu. BERNAMA

Artikel Lain