suria

Sepuluh Individu Dipanggil Bantu Siasatan Kes Ubah Cek

KUALA LUMPUR: Polis memanggil 10 individu, yang merupakan pemegang akaun dan pemilik cek untuk membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan cek persendirian atau syarikat.

Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Nooryah Md Anvar berkata lima pemegang akaun dan lima pemilik cek itu dipanggil bagi membantu siasatan yang melibatkan penahanan 11 suspek termasuk ketua sindiket itu pada 23 dan 24 November lepas.

Sindiket yang dianggotai lapan lelaki dan tiga wanita yang berumur lingkungan 20 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Kelang dan bergiat aktif sejak setahun lalu dengan menggunakan taktik mengumpil peti pos atau peti surat di rumah-rumah atau premis perniagaan sebelum melarikan sampul surat berisi cek.

"Sindiket ini kemudiannya akan membuat pintasan cek dengan cara merendam cek ke dalam cecair 'thinner' di dalam sebuah akuarium kecil bagi menghilangkan tandatangan, nama penerima dan amaun pada cek. Kemudian cek ini akan dikeringkan sebelum diisi semula dengan nama penerima dan amaun terbaru pada cek tersebut," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Nooryah berkata setiap cek asal akan tertera perkataan e-SPICK yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan apabila cek tersebut direndam di dalam cecair itu, perkataan tersebut akan hilang namun sindiket itu akan mencetak semula perkataan tersebut dengan menggunakan mesin pencetak.

Katanya sindiket itu kemudiannya akan menjadikan pelajar, penganggur, pesara dan warga emas yang dikenali sebagai orang tengah bagi meminjam akaunakaun bank milik mereka bertujuan untuk menunaikan cekcek tersebut dan komisyen sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada mereka.

Nooryah berkata polis turut merampas 44 keping cek pelbagai bank yang sudah dipinda, kad kredit, kad ATM, buku akaun individu, buku-buku cek, satu komputer riba, satu komputer desktop, mesin pencetak, mesin pendua, mesin kad kredit, satu tin cecair 'thinner', satu akuarium, lampu meja dan kanta pembesar di sebuah unit kondominium di Jinjang di sini yang dijadikan tempat memalsukan cek.

Beliau berkata sindiket itu telah bergiat aktif di sekitar Perak, Lembah Kelang dan Johor melibatkan 506 kes sejak tahun lepas dengan nilai kerugian kirakira RM1 juta.

Katanya polis turut menerima 30 laporan berhubung peti pos yang dipecah dan diumpil di kawasan Perak sejak tahun lepas dan 40 laporan pada tahun ini di sekitar Lembah Kelang.

"Saya ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila menguruskan halhal berkaitan cek dan disyorkan agar orang ramai mengambil langkah seperti tidak memberi cek kepada orang perseorangan yang tidak dikenali, tidak menandatangani cek kosong, elakkan menghantar cek melalui pos dan tidak menggunakan orang tengah untuk mengepos cek," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai sentiasa menyemak penyata akaun dan juga bayaran yang telah dibuat melalui cek di bank-bank dan melakukan urusan di kaunter bank atau melalui mesin pendeposit cek. BERNAMA

Artikel Lain