suria

Keputusan Rombak Kurikulum BTN Amat Dialu-alukan: Musa Hitam

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam hari ini mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk merombak semula kurikulum Biro Tata Negara (BTN) yang disifatkan sudah agak ketinggalan zaman.

Beliau yang juga bekas Menteri Pelajaran berkata keputusan itu membuktikan kerajaan tidak takut untuk mengakui hakikat adanya kelemahan di dalam kurikulum kursus berkenaan.

Bagaimanapun beliau berharap rombakan itu akan merangkumi penambahbaikan terhadap pengetahuan dan metodologi yang digunakan oleh tenaga pengajar (fasilitator) kursus berkenaan agar sejajar perubahan masa, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Musa berkata beliau banyak menerima aduan daripada peserta kursus itu yang berpendapat BTN masih menggunakan kurikulum dan pendekatan yang agak ketinggalan termasuk dari segi hujah pelatih, agak terpisah daripada zaman.

"Ini kerana ada peserta yang mengadu ada tenaga pengajar yang hanya mahu peserta mendengar apa yang mereka sampaikan, jika ditanya kena marah dan ini membuatkan peserta khasnya generasi muda ini merasa diperbodohkan," katanya.

"Kita boleh menonjolkan unsur kecintaan pada tanah air, konsep Ketuanan Melayu tetapi cara penyampaian itu janganlah terlalu 'bluntly crude'...kita tidak boleh menghina kebijaksanaan golongan muda," katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan dua buah buku tulisan bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad di sini.

Buku berjudul "Abdul Rahman Arshad: Kenangan Sepanjang Jalan" dan "Unity and Education in Malaysia" ini berkisar kepada pengalaman dan pandangan ahli akademik itu dalam sektor pendidikan yang mencecah 30 tahun.

Buku "Abdul Rahman Arshad: Kenangan Sepanjang Jalan" lebih kepada autobiografi Abdul Rahman, manakala buku keduanya, adalah usahanya cuba merungkai strategi dan pendekatan termasuk dasar pendidikan dalam mencapai perpaduan nasional.

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan edaran Dawama Sdn Bhd itu boleh didapatkan dengan harga RM85 untuk autobiografi, dan RM30 untuk "Unity and Education in Malaysia". BERNAMA

Artikel Lain