suria

Exco Setuju Bertanggungjawab Tindakan Ubah Status Laporan Tanah Runtuh - Khalid

SHAH ALAM: Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor bersetuju untuk mengambil tanggungjawab penuh ke atas tindakan mengubah status dokumen laporan akhir kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mesyuarat Exco pada 18 November lepas, bersetuju menggunakan kuasa Menteri Besar mengikut Seksyen 2C Akta Rasmi 1972 untuk mengubah status dokumen itu kerana ia menyentuh mengenai isu tanah yang di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Abdul Khalid berkata pegawai lain dalam kerajaan negeri tidak terlibat dalam membuat keputusan itu dan dengan yang demikian, mereka tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Maka dalam hal ini, kerajaan negeri memberi jaminan untuk melindungi kesemua pegawainya daripada apa-apa tindakan undang-undang, jika ada, yang berkaitan dengan isu ini," katanya.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri sedang melakukan segenap usaha bagi memastikan badan-badan dalam kerajaan pusat memberikan kebenaran untuk mendedahkan apaapa laporan kepada orang ramai.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata pihak perundangan kerajaan negeri sedang mengkaji beberapa peruntukan lain untuk mengubah status dokumen berkenaan sekiranya kerajaan pusat tidak memberi maklum balas terhadap permohonan kerajaan negeri itu.

Kerajaan negeri dan agensinya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudah menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya dan Kabinet kerajaan pusat memohon kebenaran untuk mengeluarkan laporan itu kepada umum tetapi sehingga hari ini, belum menerima jawapan, katanya.

Laporan yang disediakan oleh Jabatan Cerun Bukit Kementerian Kerja Raya, dilaporkan sudahpun diserahkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada September lepas dan hanya pada November ini kerajaan negeri dimaklumkan mengenai laporan itu, kata Menteri Besar. BERNAMA

Artikel Lain