suria

Bekas Pengurus Syarikat Guna Dokumen Palsu Dipenjara Tiga Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus pentadbiran sebuah syarikat hari ini dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah terhadap tiga tuduhan menggunakan borang pindahan telegraf palsu sembilan tahun lalu.

Hakim S.M Komathy menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap satu pertuduhan, dan memerintahkan hukuman ke atas Daljit Kaur, 47, dijalankan serentak.

"Apa yang kamu lakukan adalah serius, bagaimanapun setelah mengambil kira semua faktor, hukuman yang sewajarnya dikenakan ke atas kamu ialah tiga tahun penjara, berjalan serentak," kata Hakim Komathy semasa menyampaikan keputusannya.

Bagaimanapun beliau kemudian membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara itu sehingga rayuannya terhadap keputusan hari ini diputuskan dan membenarkan Daljit diikat jamin RM50,000.

Daljit, dituduh menggunakan tiga borang permohonan pemindahan telegraf palsu dengan memalsukan tandatangan dua pengarah syarikat di atas borang tersebut di syarikat pembuat pasu bunga, L&R Holdings Sdn Bhd, di Wisma Central, Jalan Ampang di sini, pada 21 Jan, 27 Feb dan 19 Jun, 2002.

Pada 12 Ogos lalu, Daljit dibebaskan daripada empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM340,000 membabitkan borang pemindahan telegraf yang sama setelah Mahkamah Sesyen mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu secara prima facie.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Mokhtar sementara Daljit diwakili peguam S.S Seelan. BERNAMA

Artikel Lain