suria

Tiada Laporan Gegaran, Kerosakan Gempa Bumi Di Kuala Pilah

SEREMBAN: Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Kuala Pilah Ibrahim Hassan berkata setakat ini pihaknya tiada menerima laporan sama ada daripada penduduk, pihak polis dan bomba mengenai kejadian gempa bumi di Kuala Pilah.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kuala Pilah berkata setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu, mahu pun kerosakan dan keretakan bangunan di daerah itu.

"Oleh itu, saya minta penduduk di daerah Kuala Pilah supaya tidak bimbang dengan kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, Kuala Lumpur hari ini menyatakan berlaku gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter di daerah itu pada 12.15 pagi ini, berpusat di 22km timur Seremban.

Bagaimanapun, menurut kenyataan tersebut tiada gegaran dirasai akibat gempa bumi itu.

Ibrahim bagaimanapun berkata jika pun ada kejadian itu berlaku, beliau tidak menolak kemungkinan ianya berlaku di kawasan hutan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti Abd Samad Ibrahim ketika ditemui berkata beliau sendiri tidak mengetahui ada gegaran berlaku di kawasan DUNnya.

Beliau sendiri terkejut apabila dimaklumkan pemberita bahawa telah berlaku gempa bumi pada skala 3.3 Richter di daerah itu pada tengah malam tadi.

Sementara itu, penduduk Kampung Tanjung Ipoh Halim Abdullah, 33, mengaku ada terasa pening semasa sedang menonton siaran televisyen tengah malam tadi.

"Rasa macam terbuai tetapi saya tidak mensyaki ada gempa bumi kerana tidak ada gegaran sehingga menyebabkan barangan rumah jatuh," katanya.

Rakan beliau Said Salleh, 36, yang bekerja sebagai penoreh getah berkata beliau hanya mengetahui kejadian itu melalui siaran radio.

"Mungkin ramai yang tidak tahu kerana sudah lewat malam dan orang dah tidur," katanya. BERNAMA

Artikel Lain