suria

Pulau Pinang Kemuka Cadangan Calon Baru YDP MAINPP Kepada Agong

PULAU PINANG: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan cadangan calon baru bagi jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta barisan ahli majlisnya kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 18 November lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata tidak salah bagi kerajaan negeri untuk mengemukakan cadangan baru itu dan terpulang kepada Seri Paduka untuk membuat keputusan mengenainya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan hanya mewartakan nama Yang Dipertua Majlis serta barisan ahli majlisnya selepas mendapat perkenan daripada baginda.

"Kerajaan negeri belum lagi mewartakan calon YDP sebab kami baru mendapat perkenan menghadap Yang diPertuan Agong di Istana Terengganu barubaru ini untuk mengemukakan cadangan baru," katanya ketika menjawab soalan Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) mengenai kedudukan YDP MAINPP itu pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Isu itu menarik minat beberapa anggota Dewan yang lain, yang mahu tahu apa berlaku kepada senarai awal yang pernah dikemukakan kerajaan negeri kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) mempersoalkan kewajaran tindakan kerajaan negeri menolak senarai nama terdahulu yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka sedangkan nama itu juga dicadangkan oleh kerajaan negeri.

Abdul Malek, yang tidak menjawab semua pertanyaan itu sebaliknya hanya mengulangi bahawa kerajaan negeri mengemukakan cadangan baru dan mahu isu itu tidak dipolitikkan.

Speaker Datuk Abdul Halim Hussain kemudiannya meminta isu itu tidak dipanjangkan kerana ia melibatkan Yang di-Pertuan Agong. BERNAMA

Artikel Lain