suria

Perumpamaan "Tidak Ada Hadnya" Tepat Bagi Lima 2009

LANGKAWI: Perumpamaan "tidak ada hadnya" tepat untuk menggambarkan persiapan bagi acara berprofil tinggi Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2009 (LIMA 2009) yang bermula esok.

Daripada segi popularitinya, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa acara itu bakal mencuri tumpuan.

Jalan raya di pulau lagenda ini juga sudah dihiasi dengan kain rentang dan panji-panji bagi mempromosikan LIMA 2009.

Di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), petugas syarikat sibuk memberikan sentuhan akhir terhadap ruang pameran masing-masing untuk menarik perhatian kira-kira 30,000 pengunjung yang pasti akan kagum dengan pelbagai peralatan dan kelengkapan udara, maritim dan pertahanan yang dipamerkan pada pameran dwitahunan itu.

Pameran LIMA 2009 selama lima hari itu menyaksikan lebih 325 syarikat dari 25 negara akan mempamerkan keluaran masing-masing.

Antara syarikat antarabangsa yang mengambil bahagian dalam acara itu termasuk Eurocopter, Thales, BAE Systems, DCNS dan AgustaWestland.

Penyertaan tempatan pula antaranya National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI), Airod Sdn Bhd, Boustead Naval Shipyard and Composites Technology & Research Malaysia (CTRM).

Sebanyak 54 buah pesawat yang akan mengambil bahagian dijadual tiba hari ini, untuk dipamerkan di landasan terbang.

Juga akan diadakan persembahan udara setiap hari di mana pengunjung pasti kagum dengan persembahan hebat dan menarik oleh para juruterbang dalam mengemudikan pesawat mereka.

Mengetuai pasukan itu ialah juruterbang jet pejuang Sukhoi30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia. Mereka akan disertai oleh pesawat perang Tentera Udara Republik Singapura dan Tentera Udara Diraja Australia.

Di Awana Porto Malai, kesemua 96 kapal yang mengambil bahagian, termasuk kapal perang akan berlabuh di situ.

Kapal selam Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman yang akan membuat penampilan sulung pada LIMA dijangka menjadi tarikan utama pada pameran segmen maritim. Lebih 10 memorandum persefahaman (MoU) dijangka akan dimeterai pada LIMA tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyaksikan majlis pemeteraian MoU berkenaan pada Rabu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang telah berada di pulau ini sejak 23 Disember, sentiasa melawat venuevenue bagi memantau perkembangan persiapan yang dilakukan.

"Saya begitu sibuk. Kami mahu memastikan semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Bagi HW Lima Sdn Bhd, penganjur acara itu, persiapan bagi pameran itu berjalan dengan lancar.

"Alhamdullihah, semuanya berjalan dengan lancar," kata Pengarah Urusan HW Lima Ahmad Dzuhri Abdul Wahab.

Mula dianjurkan pada 1991, LIMA kini menjadi destinasi utama bagi syarikat pengeluar peralatan dan kelengkapan udara dan maritim yang mensasarkan pasaran Asia Pasifik dalam sektor pertahanan, penguatkuasaan dan sivil. BERNAMA

Artikel Lain