suria

Pekerja Bangladesh: Larangan Atau Pembekuan? - MTUC

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) keliru dan mahu kerajaan memperjelaskan sama ada pengambilan pekerja dari Bangladesh ke Malaysia dilarang atau dibekukan sementara.

Setiausaha agungnya G. Rajasegaran, hari ini berkata: "Sepanjang pengetahuan MTUC secara rasmi, terdapat pembekuan sementara pengambilan pekerja dari Bangladesh bagi mengatasi lebihan pekerja asing di negara ini."

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed, di luar mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Port of Spain semalam, dipetik sebagai berkata larangan untuk membawa masuk pekerja dari Bangladesh, yang dikuatkuasakan tahun lepas, tidak akan ditarik balik buat masa ini.

"Kami harap kerajaan dapat memperjelaskan mengenai perkara penting ini kerana melarang kemasukan pekerja dari Bangladesh mungkin ditafsirkan sebagai diskriminasi memandangkan pekerja dari negara lain turut diambil bekerja di negara ini," katanya kepada Bernama di sini.

Rajasegaran berkata dalam pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia tahun lepas, MTUC dimaklumkan bahawa kerajaan membekukan sementara kemasukan pekerja bukan sahaja dari Bangladesh tetapi juga negara lain bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Rajasegaran berkata meskipun dibekukan atau dilarang, pekerja asing masih dibawa masuk ke negara ini.

"Kami berpendapat kerajaan perlu memperketatkan peraturan dan meningkatkan penguasaan bagi memastikan tiada permit baru dikeluarkan kepada pekerja asing memandangkan ramai penduduk Malaysia yang masih menganggur," katanya.

Keadaan itu tidak akan menampakkan kemajuan melainkan Kementerian Sumber Manusia diberi sepenuh kuasa untuk membawa masuk dan memberi pekerjaan kepada pekerja asing, katanya.

Beliau berpendapat sistem sekarang, dengan Kementerian Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan visa kepada pekerja berkenaan, adalah tidak wajar memandangkan kesudahannya Kementerian Sumber Manusia akan dibebani tanggungjawab memastikan kebajikan pekerja dijaga sebaik saja mereka memasuki negara ini. BERNAMA

Artikel Lain