suria

Nik Abdul Aziz Guna Agama Untuk Politik - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Niat Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan merupakan kesalahan besar daripada segi agama.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak dapat membayangkan bagaimana seorang yang dikatakan sebagai tokoh agama sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu, lebih-lebih lagi terhadap pemimpin yang seagama dan sebangsa dengannya.

"Saya tidak bolehlah menasihatkan kerana dia (Nik Abdul Aziz) lebih tahu daripada saya. Tapi kenyataan seperti ini tidak patut dikeluarkan oleh seorang yang dikatakan tokoh agama.

"Mungkin dia (Nik Abdul Aziz) lebih merupakan seorang tokoh politik dan menggunakan agama untuk tujuan politik... jual agama untuk kepentingan politik. Ini (kenyataan tersebut) sesuatu yang tidak boleh kita gambarkan," katanya kepada pemberita ketika ditanya kenyataan Menteri Besar Kelantan itu.

Terdahulu Muhyiddin berucap merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sikap Nik Abdul Aziz itu tidak mencerminkan ketokohan agama seperti yang selama ini diuar-uarkan mengenai pemimpin itu.

"Saya tidak pernah mendengar dalam sejarah hidup saya... (ada orang) buat doa jahanamkan manusia lebih-lebih lagi seagama dan sebangsa. Saya fikir (doa itu) suatu yang menyalahi tuntutan agama. Saya tidak tahu apa hukumnya. Mungkin orang agama tahu," katanya.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah pemimpin-pemimpin PAS menggunakan agama untuk kepentingan politik dan dalam hal ini, rakyat harus sedar mengenai parti yang menggunakan agama serta menyeleweng daripada ajaran agama Islam. BERNAMA

Artikel Lain