suria

Murugiah Tidak Letak Jawatan Dalam Tempoh Ditetapkan - Kayveas

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berkata beliau tidak akan meletak jawatan dalam tempoh 14 hari seperti yang diminta Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas.

Murugiah berkata beliau belum menerima sebarang notis untuk memintanya meletakkan jawatan dalam kabinet daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dia (Kayveas) perlu bezakan antara kuasa eksekutif dan kuasa politik. Kuasa eksekutif melibatkan pemecatan pegawai kerajaan (menteri) adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, beliau tidak boleh campur tangan," katanya pada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Isu status Murugiah atau Datuk M. Kayveas sebagai Presiden PPP selesai pada Ogos lepas setelah ROS memberikan keputusan bahawa Kayveas adalah presiden PPP.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yang menyatakan pengesahan itu adalah berdasarkan pemilihan Anggota Majlis Tertinggi sesi 2005/2010 dalam perhimpunan Agung PPP pada 2 Oktober 2005.

Berikutan itu, pelantikan Murugiah sebagai Presiden PPP melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 24 Mei lepas tidak boleh diterima kerana tidak mematuhi Perlembagaan Parti.

Beliau kemudian dipecat daripada parti pada 16 Mei tahun ini.

Sementara itu Murugiah mendakwa logo yang diguna pakai PPP kini adalah tidak sah kerana logo yang didaftarkan pada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mempunyai bintang enam bucu.

"Logo parti yang dipakai kini adalah tidak sah kerana bucu bintang yang digunakan hanya lima, ia tidak seperti yang pernah didaftarkan," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain