suria

Mayat Warga Indonesia Dipercayai Dibunuh Ditemui

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam keadaan tertiarap dipercayai dibunuh di tanah rizab milik Tenaga Nasional Berhad (TNB)/Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Seksyen 18 dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Nor Azam Jamaluddin berkata seorang lelaki yang mengurus kebun dekat tempat kejadian menghubungi pihak masjid berhampiran kira-kira pukul 4 petang mengenai penemuan mangsa yang dikenali sebagai Syarafuddin Darvis.

"Sepasukan anggota polis yang pergi ke tempat kejadian menemui mayat lelaki itu dan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tetakan senjata tajam di bahagian rusuk badan dan pergelangan tangan kanan mangsa hampir terputus.

"Mangsa dipercayai mati kira-kira 12 jam lalu," katanya yang menambah polis turut menjumpai tiga bilah pisau di tempat kejadian.

Katanya kali terakhir lelaki yang berumur 26 tahun itu memasuki negara ini adalah pada 6 November lepas melalui Pelabuhan Klang.

Nor Azam berkata polis mengesyaki lebih daripada dua suspek melakukan pembunuhan itu dan kes diklasifikasi sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain