suria

Kursus BTN Tidak Bertentangan Dengan Undang-Undang Negara, kata TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan tidak bertentangan dengan undang-undang negara sebaliknya ia merupakan kursus yang memberi manfaat kepada peserta yang menghadirinya.

“Ia (BTN) adalah program untuk bina semangat patriotisme dan memahami sejarah perjuangan. BTN langsung tidak bertentangan dengan undang-undang, kalau ia menyalahi undang-undang apa sekalipun...maka kita boleh memberhentikannya.

“Tapi (ia) tidak (menyalahi undang-undang),” katanya kepada pemberita ketika minta mengulas mengenai pengumuman kerajaan Pulau Pinang bahawa ia akan mempertimbangkan secara serius untuk mengikuti jejak langkah kerajaan Selangor mengharamkan kursus BTN kepada kakitangannya.

Rabu lalu, Kerajaan Selangor telah mengeluarkan arahan bahawa semua penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT), serta kakitangan kerajaan negeri dan juga agensi di bawahnya tidak lagi dibenarkan mengikuti kursus BTN yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, keputusan itu diambil selepas beberapa kajian mendapati kursus BTN yang dijalankan merupakan satu proses ‘indoktrinisasi’ Kerajaan Barisan Nasional.

Ini, kata beliau, boleh menimbulkan fenomena yang agak rasis, seolah-olah ingin memecahkan penduduk pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenenaan, Muhyiddin berkata, kerajaan pusat tidak melihat kursus BTN perlu diberhentikan semata-mata hanya kerana ada satu atau dua negeri yang mengharamkannya.

“Saya tak tahu dia (kerajaan negeri Selangor) boleh buat sebegini atas undang-undang apa. Saya ada tanya Khalid (Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) hari itu atas undang-undang apa yang dia buat untuk nak sekat orang (sertai kursus BTN)...atas kuasa apa dia buat (sebegini)?,” kata Muhyiddin dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini, “ Rupanya dia (kerajaan negeri Selangor) tak suka kerana ada satu program baru yang dibawa oleh kumpulan mereka,” kata beliau.

Mengenai cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu kerajaan pusat mendedahkan kandungan kursus BTN kepada umum, Muhyiddin berkata pemimpin veteran DAP itu boleh menyertai kursus tersebut jika berminat kerana kerajaan pusat atau BTN tidak ada apa-apa untuk dirahsiakan mengenai kursus tersebut.

Muhyiddin berkata, beliau mahu polemik mengenai kursus BTN ini segera dihentikan kerana ada banyak lagi perkara penting yang perlu dilaksanakan untuk rakyat.

Kelmarin Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mengemukakan cadangan supaya kerajaan pusat menubuhkan badan siasatan awam bagi menyiasat dakwaan bahawa kursus tersebut didakwa bersifat rasis dan menimbulkan perasaan benci di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Beliau turut mendesak kerajaan pusat mendedahkan kandungan kursus BTN kepada umum dan meminta kursus tersebut diberhentikan segera kerana ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak

Artikel Lain