suria

Kurikulum BTN Dirombak Selaras Dengan Konsep 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju merombak kurikulum dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata keputusan kabinet minggu lalu itu dibuat bagi memastikan kursus tersebut tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja dan tidak memecahkan rakyat mengikut etnik.

"Kita harus merombak kurikulum BTN. Sekarang konsep IMalaysia. Kurikulum sebelum ini tidak menepati dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Isu BTN memuncak apabila kerajaan Selangor minggu lalu memutuskan melarang kakitangan dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri itu daripada mengikuti kursus atau program BTN berkuatkuasa serta-merta.

Arahan kerajaan Negeri Selangor itu dikeluarkan kerana program BTN didakwa sekadar sesi membasuh otak yang sengaja diolah Barisan Nasional (BN) untuk meracuni pemikiran peserta bagi membenci pembangkang selain dijadikan tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Tindakan Negeri Selangor itu juga dijangka bakal diikuti kerajaan negeri Pulau Pinang.

Mohamed Nazri berkata, jika bercakap mengenai integrasi kaum, semestinya kita tidak boleh bercakap mengenai satu kaum itu sahaja, sedangkan kaum lain juga dijemput sama.

"Sehubungan itu saya percaya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah pun mengarahkan BTN untuk membuat rombakan tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai keputusan yang diumumkan Mohamed Nazri itu berkata, terdapat percanggahan pandangan oleh beberapa pemimpin kerajaan dengan apa yang diumumkan itu.

Beliau berkata beberapa pemimpin BN mengatakan BTN diasaskan untuk menimbulkan kesedaran serta memupuk semangat kebangsaan, sedangkan apa yang diumumkan Mohamed Nazri adalah sebaliknya.

"Ada percanggahan pandangan daripada pimpinan BN lain yang mengatakan BTN adalah program terbaik memupuk kesedaran kebangsaan sedangkan Mohamed Nazri mengatakan kurikulum BTN perlu disusun semula.

"Ini bermakna ada beberapa pemikiran atau modul asas dalam BTN itu perlu dirombak. Saya tidak tahu apa maksud mereka tetapi soal BTN ini telahpun dibahaskan berulang kali," katanya.

Anwar berkata, beliau tidak ada masalah dengan manamana kursus sama ada dianjurkan oleh kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri asalkan tujuannya untuk membangkitkan kesedaran dan motivasi kepada peserta.

Sehubungan itu Anwar meminta tokohtokoh utama BTN untuk untuk tampil ke hadapan berhujah dan berbahas secara terbuka mengenai isu tersebut.

"Sebaiknya tokoh-tokoh BTN harus berdepan dan jawab serta bahas secara terbuka mengenai isu BTN sebagai seorang pejuang Melayu. Jangan hanya menjerit dalam suasana tertutup," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri ketika diminta mengulas mengenai cabaran Penasihat DAP Karpal Singh agar beliau menemui Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail supaya mengeluarkan 'fiat' atau perintah bagi membolehkannya mendakwa Datuk V.K Lingam berhubung isu 'klip video Lingam' berkata, beliau telah berbuat seperti apa yang diharapkan Karpal.

Mohamed Nazri berkata beliau telah menemui Peguam Negara berhubung tawaran Karpal itu dan terpulang kepada AG untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Karpal sebelum ini dilaporkan bersedia menawarkan khidmat sukarelanya bagi mendakwa tokoh kontroversi dalam isu 'klip video Lingam', Datuk V.K. Lingam sekiranya Peguam Negara membenarkan beliau berbuat demikian.

Beliau juga menyeru Mohamed Nazri selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya menasihati AG mengeluarkan 'fiat' kepadanya bagi tujuan mendakwa Lingam.

Terdahulu, Mohamed Nazri yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Bencana Negara menerima sumbangan berjumlah RM150,000 daripada Amanah Raya Berhad untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah. BERNAMA

Artikel Lain