suria

DVD Cetak Rompak Bernilai RM1.2 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR: Sejumlah 120,000 keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak bernilai RM1.2 juta dirampas dalam satu serbuan di sebuah bangunan rumah kedai di Taman Bukit Segar Jaya, Batu 9, Cheras di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Putrajaya Firdaus Zakaria berkata seorang lelaki warga Myanmar berumur 36 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 31 tahun ditahan dalam serbuan itu.

Beliau berkata lelaki dan wanita itu cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua rumah kedai itu, namun mereka berjaya ditahan dengan bantuan orang awam yang berada di pekarangan bangunan.

Menurutnya serbuan dilakukan pada pukul 1.30 petang oleh lapan anggota dan pegawai kementerian hasil risikan dan maklumat orang awam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam bilik dan ruang tamu pihaknya menemui 120,000 DVD permainan komputer pelbagai tajuk, dan menurutnya pemilik rumah kedai itu sedang dicari. BERNAMA

Artikel Lain