suria

Doa Minta Musnahkan PM Satu Kesalahan Besar - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata doa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Allah memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan merupakan satu kesalahan besar dari segi agama.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sikap Nik Aziz itu tidak mencerminkan ketokohan agama seperti yang selama ini diuar-uarkan mengenai pemimpin itu.

“Saya fikir (doa itu) suatu yang menyalahi tuntutan agama. Saya tidak tahu apa hukumnya. Mungkin orang agama tahu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan itu.

Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat membayangkan bagaimana seorang yang faham tentang agama boleh membuat doa untuk mohon kepada Tuhan supaya musnahkan Perdana Menteri.

“Saya tak pernah dengar dalam sejarah hidup saya selama 62 tahun, orang yang dipanggil Tok Guru buat doa untuk jahanamkan manusia, lebih lagi orang yang seagama dan sebangsa dengannya.

“Saya tidak bolehlah menasihatkan kerana dia (Nik Aziz) lebih tahu daripada saya. Tapi kenyataan seperti ini tidak patut dikeluarkan oleh seorang yang dikatakan tokoh agama.

“Mungkin dia (Nik Aziz) lebih merupakan seorang tokoh politik dan menggunakan agama untuk tujuan politik... jual agama untuk kepentingan politik. Ini (doa seperti itu) sesuatu yang tidak boleh kita gambarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Jumaat lalu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau dan penyokongnya sudah mendoakan agar Perdana Menteri mengubah fikiran supaya memberikan royalti kepada negeri itu, jika tidak beliau akan berdoa supaya Allah menghapuskan masa depan Najib dan Umno.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Muhyiddin berkata, sudah menjadi lumrah pemimpin-pemimpin PAS menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Oleh yang demikian, Muhyiddin berkata rakyat harus sedar mengenai parti yang menggunakan agama serta menyeleweng daripada ajaran agama Islam.

Artikel Lain