suria

Pengurusan Alam Sekitar Cara Australia...

SUARA TENTANG kebimbangan mengenai pencemaran alam sering kali kita debatkan, namun sejauh manakah kita mempraktikkan apa yang kita perjuangkan?

Di Australia, terdapat beberapa peraturan berkenaan alam sekitar yang bagi saya boleh dipraktikan di negara kita. Itupun jika kita masih merasakan alam ini pinjaman semata-mata.

Kerajaan Australia telah memperkenalkan beberapa subsidi yang dapat membantu mengawal pencemaran alam sekitar. Bermula dengan pembahagian sampah domestik, dimana sampah hanya akan di kutip seminggu sekali.

Ini secara tidak langsung mengurangkan penggunakan kenderaan serta kos tenaga.

Menariknya jika di Malaysia, kita memerlukan paling tidak 3 orang untuk memungut sampah, tetapi di sini hanya menggunakan perkhidmatan pemandu lori sahaja. Lori sampah dilengkapkan dengan kemudahan untuk mengangkat tong sampah secara automatik.

Sampah hanya boleh diletakkan dalam tong-tong sampah yang disediakan oleh Majlis Pembandaran. Setiap rumah selalunya dilengkapkan dengan tiga jenis tong sampah.

Warna hijau, untuk pembuangan sampah biasa, hijau muda, untuk pembuagan sampah biologikal (rumput atau tumbuhan) dan tong warna kuning untuk barangan kitar semula.

Disamping itu, terdapat beberapa peraturan ketat tentang pembuangan sampah, seperti larangan membuang barang kawalan iaitu sebarang jenis cecair merbahaya seperti minyak. Perlupusan bahan begitu memerlukan kelulusan.

Setiap empat bulan, iaitu di setiap pertukaran musim cuaca akan diadakan kutipan besar-besaran barangan tertentu, khas untuk barangan susah lupus.

Seperti yang berlaku dua bulan yang lepas iaitu telah diadakan kutipan untuk barangan seperti perabot, besi, kayu dan barangan elektrik.

Kutipan terhadap potongan pokok juga diadakan pada awal musim sejuk, dengan syarat ia telah dipotong dalam kepanjangan tidak melebihi 2 kaki serta diikat kemas.

Juga terdapat peraturan tambahan mengenai sampah yang dibuang ke dalam tong sampah yang salah. Pastinya anda akan didenda.

Lebih parah, majlis perbandaran tidak akan lagi menyediakan perkhidmatan pengambilan sampah dari rumah anda.

Bagi bukan premis kediaman pula, mereka hendaklah menyewa tong sampah persendirian dan dikunci agar orang yang tidak berkenaan boleh menggunakannya sewenangnya.

Pengawalan penggunaan air juga dititik beratkan oleh pihak kerajaan. Buat masa ini di Victoria sahaja sudah lebih dari lapan bulan pengharaman membasuh kereta di premis persendirian serta penggunaan air terawat dalam menyiram tanaman dikuatkuasakan.

Penyiraman ke atas tanaman hanya boleh menggunakan air hujan ataupun air yang telah diguna pakai, manakala membasuh kereta hanya boleh dilakukan di kedai-kedai tertentu sahaja. Begitulah ketatnya kawalan yang dikenakan oleh Kerajaan Australia - iaitu terdapat kawalan terhadap jumlah air yang digunakan untuk setiap kenderaan.

Malah setiap rumah digalakkan mempunyai satu tangki menyimpan air hujan untuk kegunaan harian. Kerajaan Australia pernah memberi insentif tertentu kepada isi rumah yang mengamalkan inisiatif ini.

Ramai orang bercakap tentang betapa tenatnya alam yang kita diami kini, namun berapa ramai di antara kita yang betul-betul walk their talk, atau hanya sekadar retorik.

Sejauh mana pula peranan yang dimainkan oleh badan-badan tertentu sebagai kuasa pendesak terhadap kerajaan. Dan sejauh mana pula kerajaan begitu prihatin dalam menangani isu ini.

Dari Kyoto hingga Copahengen kita bersidang, namun apakah impak yang kita hasilkan?

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI adalah Honorary Visiting Academician, Asian Institute, University Of Melbourne

Artikel Lain