suria

Pencuri Ditembak Ketika Cuba Serang Polis

KUCHING: Polis menembak seorang pencuri sebelum memberkasnya semula selepas dia cuba bertindak menyerang anggota polis dengan sebatang kayu dalam usaha melarikan diri di Jalan Tun Ahmad Adruce di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah SAC II Huzir Mohamad berkata dalam kejadian itu, suspek lelaki berusia 33 tahun itu dari Kampung Kudei di sini mengalami kecederaan di bahagian bahu kanan dan dihantar ke hospital di sini untuk rawatan.

Insiden itu bermula pukul 10.45 pagi apabila polis menahan lelaki berkenaan kerana dipercayai mencuri di sebuah pasar raya di MJC Batu Kawa dekat sini sebelum dibawa ke Balai Polis Sungai Maong, Batu Tiga, di sini.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, suspek dipercayai membuang air besar dalam kereta peronda polis, menyebabkan anggota polis terpaksa menurunkan tingkap kereta.

Apabila tiba di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, kereta peronda berkenaan terpaksa bergerak perlahan kerana keadaan sedikit sesak menyebabkan suspek mengambil kesempatan untuk membuka pintu kereta sebelum larikan diri dan terjun ke dalam sebuah anak sungai berhampiran.

Huzir berkata suspek, yang digari, naik semula di sebarang anak sungai itu lalu mendapatkan sebatang kayu dan bertindak menyerang anggota polis yang mengejarnya.

Katanya polis terpaksa melepaskan tembakan setelah suspek bertindak agresif dan cuba menyerang polis, walaupun amaran telah diberikan.

"Suspek kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya. BERNAMA

Artikel Lain