suria

Keadaan Trafik Di Lebuh Raya Utara-Selatan Sesak

KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di beberapa bahagian di Lebuhraya Utara-Selatan hari ini sesak berikutan ribuan warga kota mula kembali ke ibu negara selepas cuti sempena perayaan Aidiladha Jumaat lepas.

Jurucakap Plus Expressways Sdn Bhd (PLUs) berkata kesesakan berlaku di Plaza Tol Pedas-Linggi ke kawasan Rawat dan Rehat (R & R) Seremban di KM266 sejak pukul 4 petang tadi.

"Trafik turut sesak di kawasan Gurun, Kedah, berikutan terdapat satu kemalangan di KM57. Begitu juga di Kuala Kangsar menuju ke R & R Sungai Perak kerana terlalu banyak kenderaan berhenti rehat di situ dan tidak dapat menampung jumlah kenderaan.

"Dekat terowong Menora antara Kuala Kangsar ke Ipoh Utara (kawasan Jelapang) juga sesak kerana kenderaan bergerak perlahan berikutan lorong mendaki di situ," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Menurutnya kenderaan bergerak secara perlahan dari Gua Tempurung menghala Slim River disebabkan banyak kenderaan memasuki R & R Tapah.

"Warga kota mula pulang ke ibu negara setelah menghabiskan cuti Aidiladha kebanyakan dari arah utara. Bagaimanapun selepas persimpangan Slim River trafik bergerak lancar," katanya.

Beliau berkata pengguna yang ingin mengetahui maklumat trafik semasa bagi membantu mereka sebelum memulakan perjalanan boleh menghubungi Plusline dengan menelefon 1-800-88-00-00 yang beroperasi 24 jam. BERNAMA

Artikel Lain