suria

Tony Fernandes menang 'Anugerah CEO Syarikat Penerbangaan 2009'

KUALA LUMPUR: Ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Seri Tony Fernandes, telah dinamakan "CEO Syarikat Penerbangan 2009" oleh majalah Jane's Transport Finance di London semalam.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata anugerah itu diserahkan kepada Fernandes kerana telah memacu AirAsia menjadi penerbangan kos rendah terbaik dunia dan yang terbesar di Asia.

"Di bawah kepimpinan Fernandes, AirAsia telah menerbangkan lebih 75 juta penumpang dalam tempoh kurang lapan tahun," katanya.

Fernandes menganggap kemenangannya itu adalah hasil kerja kuat pekerjanya serta budaya inovasi Air Asia.

"Saya mencapai tahap ini dengan sokongan pekerja saya yang memberi semangat kepada saya serta budaya inovasi kami di tempat kerja.

"Kami telah samasama membangunkan AirAsia, dengan semua orang berkongsi idea, mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan, meningkatkan perkhidmatan dengan penggunaan teknologi dan sentuhan peribadi, dan memasarkan jenama kami dengan agresif," katanya.

Majalan Jane's Transport Finance dari UK adalah pembekal maklumat pasaran dan penyelesaian bersepadu kepada sektor pengangkutan, keselamatan awam, pertahanan, keselamatan dan undang-undang.

Penerbitan itu memberikan anugerah tahunan kepada mereka yang cemerlang dalam sektor penerbangan, lapangan terbang, keretapi, jalanraya dan perkapalan. BERNAMA

Artikel Lain