suria

Polis Selamatkan Wanita Mualaf Yang Jadi Mangsa Rogol

KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan seorang wanita mualaf yang menjadi mangsa rogol seorang lelaki dipercayai presiden sebuah persatuan kebajikan di kondo lelaki itu di Pandan Indah, dekat sini semalam.

Mangsa berumur 28 tahun itu yang berkahwin dengan lelaki tempatan dan kini dalam proses perceraian, telah dikurung, dipukul serta dirogol dua kali oleh suspek dalam kondominium milik suspek sejak 20 November lepas dan diselamatkan polis kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata mangsa sebelum itu cuba mendapatkan perlindungan daripada persatuan berkenaan berikutan tidak mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal bagi menyara hidupnya bersama seorang anak perempuan yang berumur lapan tahun.

Katanya suspek yang berumur 38 tahun yang juga seorang mualaf telah mengajak mangsa menumpang berteduh di kondomiumnya buat sementara dan meyakinkan mangsa bahawa ibunya (suspek) turut tinggal bersamanya.

"Mangsa yang yakin dengan suspek bersetuju tanpa rasa curiga sehingga dia dirogol, dikurung dan dipukul di rumah itu.

"Tidak tahan dengan kelakuan suspek, mangsa cuba mendapatkan pertolongan daripada jiran ketika suspek keluar menunaikan solat sunat Aidiladha semalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis ibadah korban 14 ekor lembu sumbangan penduduk Bukit Antarabangsa bersama polis di sini hari ini.

Susulan daripada itu, sepasukan anggota polis Ampang memecah masuk ke rumah suspek dan menyelamatkan mangsa bersama anak perempuannya sebelum menahan suspek.

"Suspek ditahan di hentian Puduraya pada kira-kira pukul 2 petang semalam, ketika cuba melarikan diri selepas menyedari wanita itu diselamatkan polis," katanya.

Abdul Jalil berkata suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau ditahan kerana kesalahan merogol, mencederakan orang menggunakan senjata, dan mengurung secara salah kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Mangsa kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Ampang selepas menerima rawatan di Hospital Ampang. BERNAMA

Artikel Lain