suria

Perompak Larikan Barang Kemas Bernilai RM500,000

NIBONG TEBAL: Lima lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi melarikan 13 dulang barang kemas bernilai kira-kira RM500,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di pekan Sungai Bakap, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10.10 pagi apabila empat daripada suspek berusia 30an meluru masuk ke dalam premis kedai emas itu dan mengarahkan tiga pekerjanya berdiam diri.

Katanya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu, tiga daripada suspek didapati memakai topeng, manakala seorang lagi bertopi keledar cermin gelap.

Beliau berkata salah seorang suspek mengacukan pistol ke arah tiga pekerja kedai itu, manakala tiga lagi suspek memecahkan cermin ruang pameran dan memasukkan 13 dulang barang kemas bernilai hampir RM500,000 ke dalam beg mereka.

"Siasatan mendapati perompak yang menaiki kereta jenis Proton Wira itu sempat berhenti di satu kawasan Lima Kongsi, dua kilometer dari lokasi kejadian untuk memindahkan beg berisi barangan rompakan ke dalam sebuah kereta Toyota Camry," katanya ketika ditemui di tempat kejadian pagi ini.

Shafien berkata kesemua perompak itu kemudiannya dipercayai berpecah dan melarikan diri dengan menaiki kedua-dua kenderaan tersebut.

Beliau berkata polis sedang menggerakkan usaha memburu kelimalima suspek, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dengan menelefon 04-5932222 atau menghubung balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain