suria

Lelaki Beraya Di Rumah Saudara Berakhir Dengan Kematian Di Kolam Ikan

IPOH: Seorang lelaki yang berhari raya di rumah saudaranya berakhir dengan kematian apabila lemas di kolam ikan di Rumah Rihat Ayer Kuning, Tapah, 65 km dari sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad berkata mangsa, Fadzly Arshad, 43, ditemui lemas pada pukul 6 petang oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama keluarganya yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur berkunjung ke rumah saudaranya di Ayer Kuning dan berkelah di tepi kolam ikan pada pukul 5 petang semalam, katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslan berkata semasa kejadian Fadzly berenang untuk menangkap itek di dalam kolam berkenaan tetapi lemas dan tenggelam manakala keluarganya gagal menyelamatkannya.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis dan operasi mencari dengan bantuan Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat kemudian menemui mayat mangsa di dasar kolam itu sejam kemudian.

Mayat Fadzly dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Lain