suria

Dua Mati Ditetak Kumpulan Bersenjatakan Parang

KLANG: Dua lelaki mati, manakala dua lagi temasuk seorang remaja lelaki berumur 15 tahun cedera parah dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah rumah di Jalan Raja Nong, Taman Sentosa di sini awal hari ini.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Khaw Kok Chin berkata kejadian berlaku kirakira 1 pagi selepas mangsa menghadiri majlis hari jadi kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa didatangi sekumpulan lelaki antara 10 dan 15 orang yang bersenjatakan parang sebelum berlaku pertengkaran mulut yang berlanjutan dengan kejadian tetak menetak.

"Seorang daripada mangsa dikenali sebagai Kalimuthu, 30, kemudian cuba melarikan diri kirakira 200 meter dari tempat kejadian bagi mendapatkan bantuan penduduk sekitar.

"Dia bagaimanapun diserang bertubi-tubi dan meninggal dunia di tepi pagar sebuah rumah.

"Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Berberanathan alias Ravi, 42, pula meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini," katanya.

Khaw berkata mangsa yang parah, J.Sivamathran, 25, serta P.Selvaraj, 15, kini dirawat di HTAR dan dilaporkan kritikal.

Beliau berkata seorang suspek berusia 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan yang menjurus sama ada kejadian itu bermotifkan kongsi gelap atau dendam. BERNAMA

Artikel Lain