suria

Mustapa Hadiri Persidangan Menteri-Menteri WTO

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed akan menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Ketujuh minggu depan, yang akan membincangkan tentang kemajuan Pusingan Doha.

Persidangan itu yang diadakan di Geneva, Switzerland, dari 30 November hingga 2 Disember, juga akan mengkaji semula aktiviti WTO dengan tujuan mengukuhkan fungsi-fungsi organisasi tersebut dan sumbangannya kepada pemulihan, pertumbuhan dan pembangunan dunia.

Tema persidangan tersebut ialah "WTO, the Multilateral Trading System and the Current Global Economic Environment" (WTO, Sistem Dagangan Pelbagai Hala dan Persekitaran Ekonomi Global Semasa).

Malaysia giat menyertai semua aktiviti dan rundingan WTO bagi melindungi kepentingan negara dan pada masa yang sama memastikan persekitaran dagangan global terus terbuka, telus dan boleh diramal, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Pusingan Doha yang dimuktamadkan penting kepada Malaysia kerana ia akan menyediakan ketelusan dan kepastian menerusi peraturan dan disiplin yang dipertingkatkan," kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

"Juga terdapat faedah segera menerusi peluang akses pasaran lebih besar bagi barangan dan perkhidmatan hasil daripada pengurangan tarif dan halangan lain."

Mengambil kesempatan daripada kehadiran menteri-menteri di persidangan ini, pelbagai mesyuarat tidak rasmi akan diadakan untuk membincangkan caracara bagi menggerakkan rundingan Pusingan Doha, kata MITI.

The Cairns Group, yang mewakili negara pengeksport pertanian utama termasuk Malaysia akan mengadakan mesyuarat menterimenteri tidak rasmi pada 30 November.

"Mesyuarat itu dijangka membincangkan usaha-usaha bagi memuktamadkan rundingan tersebut tahun depan serta menterjemah deklarasi politik menjadi hasilhasil yang ketara," kata kementerian itu.

Malaysia akan memeterai deklarasi bersama bagi kerjasama ekonomi dengan Hong Kong pada 1 Dis, yang akan menyaksikan kedua-dua negara giat menggalakkan kerjasama perdagangan dan ekonomi dua hala, kata MITI.

Selain itu, Mustapa juga akan berjumpa dengan negaranegara anggota daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan program keupayaan pembangunan dan bantuan teknikal bagi anggota OIC.

Persidangan menteri-menteri WTO terakhir diadakan di Hong Kong pada 2005. BERNAMA

Artikel Lain