suria

Mahkamah Perintah Tertuduh Kes Pecah Rumah Dipenjara Lapan Tahun

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan ke atas seorang penjaga mesin kerana melakukan pecah rumah dua tahun lepas, sebaliknya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lapan tahun.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas M.Gunalan, 25, oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 17 Dis 2007.

Tertuduh bagaimanapun tidak hadir di mahkamah semasa keputusan itu dibuat selepas tiga notis yang dikeluarkan untuk menghadiri prosiding rayuan itu tidak dapat diserahkan kepadanya berikutan dia tidak dapat dikesan.

Ketika membuat keputusan itu, Su berkata Hakim Mahkamah Sesyen Klang telah terkhilaf dan tidak mematuhi prinsip undang-undang apabila menjatuhkan hukuman yang tidak mencukupi ke atas tertuduh.

"Justeru, mahkamah mengetepikan hukuman penjara 12 bulan dan memerintahkan responden (tertuduh) untuk menjalani hukuman penjara lapan tahun," katanya.

Pada 17 Dis 2007, Gunalan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas mengaku bersalah memecah masuk rumah M.Rajakumar, 46, dan mencuri barangan kemas, sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai, menyebabkan kerugian kira-kira RM8,000 milik mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di No: 5, Lot 662, Batu 1, Kampung India, Bukit Rotan, Kuala Selangor, kira-kira pukul 5.50 pagi pada 28 Okt 2006.

Gunalan telah selesai menjalani hukuman penjara itu yang berkuatkuasa dari tarikh dia dituduh di mahkamah iaitu pada 16 September 2007. Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Mustafa P.Kunyalam berhujah bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh serius kerana kejadian itu telah menyebabkan satu nyawa melayang.

"Perbuatan tertuduh secara tidak langsung menyebabkan kematian seorang warga emas," katanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa Gunalan memecah masuk ke rumah Rajakumar, hanya ibu mangsa, N.Mariamah, 72, berada di rumah.

Tertuduh kemudian bertindak mengikat tangan dan mulut Mariamah dan mencuri harta benda milik Rajakumar sebelum melarikan diri.

Rajakumar yang pulang ke rumah kira-kira 12 jam kemudian mendapati ibunya telah meninggal dunia. -BERNAMA

Artikel Lain