suria

Masjid Negara Anjur Majlis Korban Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Masjid Negara akan menganjurkan majlis korban pada 28 November ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut esok di seluruh negara.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, Azhar Tuarno berkata majlis korban itu akan berlangsung pada hari kedua Hari Raya Aidiladha kerana kesuntukan masa berikutan solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat esok.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup akan merasmikan majlis korban tersebut yang dijangka bermula pukul 8.30 pagi di perkarangan tempat letak kereta Masjid Negara.

Tahun ini, sebanyak 30 ekor lembu dikorbankan sempena perayaan itu di Masjid Negara untuk diagihagihkan kepada umat Islam di sekitar kawasan Lembah Klang, katanya.

"Selain itu, orang ramai yang ingin menyertai program korban pada hari Sabtu itu boleh melakukannya dengan datang ke Masjid Negara pada pukul 8 pagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim A.S. yang diperintah Allah S.W.T. agar menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. bagi membuktikan kepatuhan baginda terhadap suruhan Allah S.W.T. dan peristiwa itu menjadi lambang pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad akan mengetuai solat sunat Aidiladha esok sebelum menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk 'Mewujudkan Keturunan dan Pemimpin Pelapis yang Soleh', kata Azhar. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain