suria

Lelaki Ditembak Di Rusuk Ketika Cuba Menyamun Stesen Petronas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera di rusuk kiri akibat ditembak polis manakala rakannya ditahan ketika cuba menyamun sebuah stesen minyak Petronas di Batu Caves pagi ini.

Dalam kejadian pada 9.30 pagi tadi, keduadua lelaki berumur 21 dan 24 tahun itu menyerang seorang pekerja stesen minyak berkenaan dengan bersenjatakan parang dan pistol mainan.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah memberitahu Bernama bahawa seorang daripada suspek bergelut dengan mangsa berhampiran kaunter dalam kedai di stesen minyak itu manakala rakannya menyerang menggunakan parang.

"Ketika itu, seorang anggota polis yang sedang mengisi minyak melihat kejadian dan cuba membantu mangsa.

"Bagaimanapun seorang daripada suspek menyerangnya dengan parang menyebabkan dia melepaskan satu das tembakan terhadap suspek," katanya.

Lelaki itu dibawa ke Hospital Selayang manakala rakannya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak. Abdul Rahim berkata susulan daripada penahanan kedua-dua suspek, seorang wanita dan seorang lagi lelaki diberkas di sebuah rumah di Taman Selayang pada 10.30 pagi manakala tiga buah motosikal bernombor pendaftaran palsu dan 20 pucuk pistol mainan telah dirampas.

"Mereka juga didapati positif syabu," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain