suria

Kes Kolera Di Terengganu, Kelantan Dipercayai Merebak Dari Negara Jiran - Rosnah

KIMANIS: Selepas Terengganu, Kelantan menjadi negeri pantai timur kedua yang dilaporkan mempunyai kes kolera yang dipercayai merebak dari Thailand, manakala kes kolera di Sabah dilaporkan sebagai jangkitan kolera biasa, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

"Kita hanya menyedari kes kolera dalam bentuk yang berbeza itu semalam dan merebak dari Thailand yang dilaporkan mempunyai persamaan kes.

"Pesakit di Terengganu dan Kelantan tidak memberikan tindak balas apabila diberikan ubat antibiotik biasa untuk kolera seperti mana yang kita berikan kepada pesakit di Sabah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pecah tanah projek Stesen Janakuasa Kimanis di sini hari ini.

Rosnah berkata sehingga kini sebanyak 185 kes kolera dilaporkan di Terengganu manakala di Kelantan 14 kes.

Rosnah bagaimanapun menafikan wabak itu merebak di Terengganu dan Kelantan disebabkan banjir yang melanda kedua-dua negeri itu.

"Terdapat juga negeri-negeri lain yang mengalami banjir tetapi belum ada kes kolera yang dilaporkan, hanya Terengganu dan Kelantan yang mempunyai kes kolera yang berbeza disebabkan kedua-dua negeri itu berjiran dengan Thailand," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain