suria

Hampir RM2 Bilion Dikeluarkan Di Bawah Skim Persaraan KWSP

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.97 bilion telah dikeluarkan di bawah Pengeluaran Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun ini, iaitu meningkat daripada RM1.64 bilion pada suku tahun yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol dalam kenyataan media hari ini berkata daripada jumlah RM1.97 bilion itu, RM1.41 bilion telah dikeluarkan di bawah Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun, iaitu meningkat sebanyak 14.22 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Manakala, baki RM557.05 juta pula dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun KWSP berbanding RM403.51 juta tahun lepas, iaitu pertambahan sebanyak 38.05 peratus, katanya.

"Ahli yang semakin cenderung memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun membuktikan keyakinan mereka terhadap keupayaan KWSP membayar dividen ke atas simpanan mereka.

"Pada masa yang sama, ciriciri pengeluaran tersebut yang lebih fleksibel memudahkan ahli untuk menguruskan simpanan persaraan mereka dengan lebih efektif," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat 72 peratus daripada Pengeluaran Persaraan masih dibuat melalui Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun.

Justeru, katanya KWSP berharap jumlah itu akan berkurangan kelak dengan meningkatnya kesedaran di kalangan anggota bahawa pengeluaran secara sekaligus boleh menyebabkan ketidakcukupan pendapatan semasa persaraan.

Azlan berkata anggota juga dilihat lebih berhemah dan berhati-hati dalam membuat Pengeluaran Perumahan berikutan terdapatnya penurunan dalam jumlah permohonan bagi tujuan itu tahun ini.

Katanya, sikap pembeli yang lebih suka 'tunggu dan lihat', jumlah permohonan Pengeluaran Perumahan yang diluluskan tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 20.18 peratus kepada 86,664 permohonan berbanding 108,573 permohonan pada tempoh yang sama tahun lepas.

"Ahli kini lebih berhatihati dalam membuat keputusan membeli rumah berikutan keadaan ekonomi semasa," katanya.

Azlan turut memaklumkan bahawa pada suku ketiga tahun ini, kadar majikan tidak mencarum telah menurun kepada 1.75 peratus berbanding 2.53 peratus tahun lepas.

Beliau berkata jumlah ini juga menunjukkan petanda positif bahawa majikan semakin sedar akan tanggungjawab mereka untuk mencarum bagi pihak pekerja walaupun dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Sehingga kini, beliau berkata jumlah keseluruhan majikan yang mendaftar dengan KWSP adalah sebanyak 451,399 berbanding 440,603 tahun lepas.

Dalam pada itu, Azlan memaklumkan bahawa setakat September tahun ini, jumlah ahli KWSP meningkat 2.40 peratus kepada 12,181,025 anggota, berbanding 11,993,689 anggota pada tempoh sama tahun lepas.

"KWSP akan terus melangkah gigih untuk mencapai tahap penyampaian perkhidmatan yang lebih tinggi dengan melakukan penambahbaikan berterusan terhadap semua aktiviti pemprosesannya dan pada masa yang sama mengoptimumkan penggunaan ICT dalam semua bidang operasi," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain