suria

Syarat Visa Harus Diperketatkan Kepada Pelajar Negara Tertentu - Khaled

SHAH ALAM: Syarat kemasukan penuntut asing ke negara ini harus diperketatkan di mana penuntut dari sesetengah negara sahaja diberikan kelulusan visa sewaktu ketibaan (VOA) sebagai langkah memastikan hanya yang layak dibenar melanjutkan pengajian di Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan itu penting bagi memastikan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau mencapai matlamat selain mengelakkan masalah sosial di kalangan penuntut asing.

"Biasanya pelajar dari negara tertentu menggunakan VOA dengan alasan untuk meninjau universiti dan kolej yang boleh menerima mereka belajar.

"Kita perlu meneliti rekod pelajar dari negara tertentu ini terlebih dulu dan sepatutnya Jabatan Imigresen tidak memberi VOA kepada mereka.

"Pelajar ini perlu mendapatkan visa ketika masih berada di negara asal di samping telah menerima tawaran dari universiti atau kolej di Malaysia sebelum diterima masuk ke negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Yayasan Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kementeriannya mungkin menggunapakai sistem "No Objection Certificate" (NOC) terhadap pelajar dari negara tertentu iaitu membenarkan mereka masuk ke negara ini selepas mendapat pengiktirafan kelayakan dari negara asal. Katanya pihaknya juga akan meletakkan syaratsyarat baru pada masa akan datang terhadap pelajar asing termasuk dikenakan deposit tunai kepada universiti yang menawarkan tempat pengajian kepada mereka.

"Deposit yang belum ditentukan jumlahnya itu akan dijadikan cagaran atau jaminan untuk mengelak pelajar asing itu terjerebak dalam aktiviti tidak sihat," katanya yang menambah peraturan baru itu masih pada peringkat cadangan.

Mohamed Khaled berkata meskipun seramai 70,000 pelajar asing berada di negara ini, namun pembabitan mereka dalam aktiviti jenayah masih pada tahap tidak membimbangkan.

Katanya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diberi tanggungjawab penuh melaporkan kepada kementerian dan Jabatan Imigresen jika pelajar asing menghilangkan diri atau ponteng kuliah.

"Jika pelajar yang ponteng atau hilangkan diri ditangkap kerana jenayah, kita tidak teragakagak untuk tidak lagi membenarkan IPTA dan IPTS ini mengambil pelajar asing," katanya.

Mohamed Khaled berkata bagi mencapai sasaran menjadikan Malaysia pusat pendidikan serantau, kementerian akan memberi lebih tumpuan kepada pelajar asing yang mendapat tajaan dan lepasan ijazah yang boleh membantu rakan senegara yang menghadapi masalah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya akan mengkaji sama ada untuk memberi kuasa autonomi kepada universiti awam bagi menentukan gaji pensyarah berdasarkan produktiviti pensyarah itu menghasilkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). BERNAMA

Artikel Lain