suria

Suami Isteri Ditahan Terbabit Kes Wang Palsu

ALOR SETAR: Polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berusia 20 tahun, kerana terbabit membuat wang kertas palsu sejak beberapa bulan lalu, dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Wira Mergong di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusof berkata pasangan penganggur itu ditahan pada pukul 8 malam tadi.

"Si suami kemudiannya membawa polis ke sebuah bilik motel yang disewa lebih kurang sebulan lalu berhampiran hentian bas Shahab Perdana dan polis menemui wang kertas palsu serta peralatan untuk membuat wang palsu.

"Sebanyak 232 keping wang palsu (not RM50) bernilai RM11,600 ditemui di bilik motel berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Beliau berkata antara yang dirampas di bilik motel berkenaan ialah salinan fotostat wang kertas RM50 di muka depan dan belakang di atas kepingan kertas A4, peralatan seperti pisau, gunting, kertas pelekat berkilat serta 15 keping video cakera padat (VCD) disyaki VCD lucah.

Asri berkata modus operandi suspek ialah mencetak (fotostat) wang yang tulen sebelum membelah dua wang berkenaan dan sebelah yang tulen ditampal pada wang kertas yang palsu.

Suspek kemudiannya akan memasukkan wang palsu berkenaan ke dalam mesin deposit tunai (CDM) bank-bank tempatan dan mengeluarkan semula di mesin ATM pada hari yang sama, katanya.

Asri berkata pasangan yang baru berumahtangga Jun lalu itu, mula memasukkan wang palsu di mesin CDM dalam jumlah yang kecil bermula Julai lalu dan pada pertengahan September, kemasukan wang dibuat terlalu aktif sehingga mencecah lebih RM26,000, tetapi baki wang dalam akaun yang digunakan kurang RM100.

"Kebanyakkan laporan jumpaan wang palsu, dibuat pegawai-pegawai bank dan pengawal sekuriti yang mengendalikan pengambilan serta penyimpanan wang di mesin ATM dan CDM yang ada perjanjian dengan pihak bank," katanya.

Katanya siasatan awal polis mendapati pasangan itu mengetahui teknik membuat wang palsu dari seorang rakan mereka dan usaha mengesan suspek (lelaki) yang masih bebas itu sedang dibuat. Asri bagaimanapun menolak penglibatan pasangan berkenaan dalam mana-mana sindiket sebaliknya mereka dipercayai melakukan kegiatan berkenaan secara kecil-kecilan.

Katanya kedua-dua suspek direman mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki mata wang palsu sebagai tulen yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda.

Beliau berkata suspek turut akan didakwa di bawah Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 kerana memiliki VCD dan cakera video digital (DVD) lucah yang jika sabit kesalahan membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya sepanjang tahun ini sahaja sebanyak 105 kes dilaporkan membabitkan penemuan 2,172 keping wang palsu bernilai RM110,155, di negeri ini. BERNAMA

Artikel Lain