suria

SPRM Selesai Siasat Kes Dakwaan Salah Guna Kuasa Di Sarawak

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa pengagihan dana pembangunan khas melibatkan satu kawasan Parlimen di Sarawak.

Pengarah SPRM Sarawak Samsiah Abu Bakar berkata kes itu selesai disiasat setelah Anggota Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, memberi keterangan pada 20 Nov lalu.

"Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada pemberita selepas penutupan seminar pencegahan rasuah melalui kawalan sistem 2009 oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Zakaria Jaffar di sini hari ini.

Sebelum ini SPRM Putrajaya mengeluarkan kenyataan menafi dakwaan Chong yang juga Setiausaha DAP Sarawak bahawa SPRM bersikap sambil lewa dalam menyelesaikan siasatan tersebut.

SPRM memberi penjelasan bahawa siasatan tersebut belum selesai kerana kesukaran mendapat kenyataan daripada Chong sendiri.

Aduan dibuat setelah Chong dimaklumkan di Dewan Rakyat bahawa peruntukan RM1.4 juta untuk kawasan Parlimen Bandar Kuching telah diberi kepada organisasi di luar kawasan itu iaitu di Mukah, Limbang dan Lawas. BERNAMA

Artikel Lain