suria

Speaker Terima Penggantungan Pilihan Raya Kecil Kota Siputeh

ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail menerima dengan terbuka perintah penggantungan sementara Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.

Beliau berkata keputusan penggantungan yang dibuat semalam, ada rasionalnya kerana mahkamah telah memberi alasan yang munasabah.

"Mahkamah Tinggi telah membuktikan saya betul tetapi saya tidak tahu bagaimana dengan keputusan Mahkamah Rayuan nanti," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini Rabu.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak boleh berbuat apa-apa jika kes itu mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana segalanya terletak dalam bidang kuasa mahkamah.

"Tetapi secara rasmi memang kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan sepatutnya ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana rakyat perlu ada wakil mereka," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga menerima penggantungan sementara itu dan Kerajaan Negeri juga menerimanya dengan terbuka tanpa bantahan.

Beliau berkata, sekiranya pilihan raya kecil diadakan nanti, PAS akan bersedia bertanding dengan siapa pun calon yang akan diletakkan Barisan Nasional (BN). BERNAMA

Artikel Lain