suria

Peruntukan RM1 Juta Untuk Mangsa Banjir Di Kelantan

RANTAU PANJANG: Kerajaan pusat memperuntukkan hampir RM1 juta kepada mangsa banjir di Kelantan khusus untuk membantu meringankan beban mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata peruntukan berkenaan antara lain melibatkan bekalan makanan di pusatpusat perpindahan.

"Setakat ini bekalan makanan bagi pusat perpindahan tiada masalah, bekalan mencukupi. Cuma mungkin mangsa banjir mahu menunya ditukar," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat perpindahan banjir di sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di sini, hari ini.

Terdapat lebih 400 orang mangsa banjir masih ditempatkan di pusat perpindahan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya turut menukar menu ayam sekurang-kurangnya dua kali seminggu menggantikan sardin.

"Bagaimanapun kita tidak menafikan berlaku sedikit kelambatan dengan pengagihan bekalan makanan namun ia hanya pada hari pertama banjir memandangkan semua kakitangan yang bertugas agak sibuk," katanya.

Mengulas mengenai permintaan di kalangan mangsa banjir yang meminta sedikit bantuan kewangan, beliau berkata perkara itu akan dipanjangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Nasional, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Apa yang penting, mangsa banjir diminta mengikuti segala arahan daripada pihak berkuasa dari semasa ke semasa ketika musim banjir bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Sempena lawatan itu, Shahrizat turut menyumbangkan dua ekor lembu untuk dijadikan korban kepada penghuni pusat perpindahan berkenaan sempena Hari Raya Aidiladha, Jumaat ini. BERNAMA

Artikel Lain