suria

MPAJ Perlu Mohon Kebenaran Dedah Laporan Siasatan Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) perlu memohon kepada Kementerian Kerja Raya untuk mendedahkan kandungan laporan siasatan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang kepada umum.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata selagi MPAJ tidak mengemukakan permohonan, status laporan itu kekal sebagai 'rahsia' dan kerajaan Selangor tidak boleh mendedahkannya kepada umum.

Beliau berkata kementerian tidak berniat merahsiakan laporan itu tetapi hanya mengehadkan kepada mereka yang hanya mempunyai aset dan kepentingan di Bukit Antarabangsa.

"Sampai hari ini saya belum dapat surat daripada MPAJ iaitu agensi bertanggungjawab bagi memohon untuk minta 'declassify' laporan itu. Setakat ini saya tidak tahu mengenainya. Belum ada MPAJ hantar surat tentang perkara itu (memohon mengubah status rahsia).

"Bukan kita tak bagi sesiapa tengok tetapi kita hadkan hanya kepada mereka yang ada aset dan kepentingan di Bukit Antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Deepavali peringkat kementerian itu di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa kerajaan negeri tidak dapat mengedarkan salinan laporan kejadian itu kepada umum kerana belum mendapat kebenaran Kementerian Kerja Raya.

Shaziman berkata tujuan utama kajian itu ialah untuk mengenal pasti serta memetakan ceruncerun yang berbahaya di kawasan berkenaan, dan setelah siap ia diserahkan kepada MPAJ, iaitu agensi yang bertanggungjawab untuk melihat isu itu.

Beliau berkata apabila kementerian membentang laporan itu kepada Kabinet, pihaknya mencadangkan supaya laporan terperinci tahap bahaya cerun di Bukit Antarabangsa diserah kepada MPAJ selain turut mencadangkan individu yang tinggal di Bukit Antarabangsa boleh mengemukakan pertanyaan berhubung keadaan tanah atau aset mereka kepada MPAJ.

"Kenapa ada orangorang yang tak bersangkutan mahukan laporan itu. Takkan saya (kementerian) nak dedahkan kepada semua orang," katanya.

Shaziman berkata laporan itu bagaimanapun tetap boleh didedahkan kepada orang ramai jika MPAJ membuat permohonan, dan jika ada kebaikan kepada semua beliau akan membawa isu itu ke Kabinet untuk dipertimbangkan.

Ditanya adakah kementerian akan mengambil tindakan undangundang terhadap Mohd Khalid berhubung pendedahan kandungan laporan itu, Shaziman berkata tindakan yang mungkin boleh dikenakan ialah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Itu saya tak pasti. Bahagian perundangan kena tengok. Saya dah bagi tahu pegawai perundangan supaya melihat sama ada apa yang dilakukan kerajaan Selangor itu melanggar peraturan OSA atau sebaliknya. Sebabnya Khalid sendiri dah dedahkan banyak benda," katanya.

Abdul Khalid sebelum ini mengumumkan bahawa laporan siasatan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa yang mengorbankan lima nyawa pada 6 Disember tahun lepas akan didedahkan kepada umum mulai Isnin.

Beliau, yang mengubah status klasifikasi dokumen itu dengan menggunakan haknya sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2c, Akta Rahsia Rasmi, berkata orang ramai boleh mendapatkan kandungan laporan berkenaan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Bagaimanapun Mohd Khalid menangguhkan keputusan mengedarkan salinan laporan siasatan itu disebabkan belum mendapat kebenaran Kementerian Kerja Raya. BERNAMA

Artikel Lain