suria

Lelaki Aceh Ke Tali Gantung Kerana Edar Kanabis

SHAH ALAM: Seorang pekerja kontrak warga Indonesia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar kanabis seberat 1,883 gram, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh Darwis Syamsudin, 31, melampaui keraguan yang munasabah.

Darwis, dari Acheh, didapati bersalah mengedar dadah berbahaya itu di Jalan Batu 11, Sungai BulohKepong, Petaling Jaya dekat sini, pukul 6.30 petang, 21 Julai 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhairy Zakaria memanggil lapan saksi memberi keterangan sementara pembelaan yang diwakili peguam Mohamad Rafique Rashid mengemukakan seorang saksi.

Di mahkamah yang sama, seorang lagi pekerja kontrak dari Aceh dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 kali sebatan kerana memiliki 875 gram kanabis yang ditemui di dalam raga motosikalnya, dua tahun lepas.

Asmabi menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Hasan, 35, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Pelembang, Kampung Rantau Panjang, Klang, pukul 9 malam, 15 Mac 2007.

Tertuduh yang merupakan pemegang kad perlindungan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu Bagi Hak Asasi Manusia (UNHCR) didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan minimum 10 kali sebatan.

Mohamad sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pendakwaan meminda pertuduhan kepada memiliki dadah selepas tiga representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara. BERNAMA

Artikel Lain