suria

LEBIH 100 JEMAAH HAJI MENERIMA RAWATAN DI HOSPITAL TABUNG HAJI

MEKAH: Seramai 120 jemaah haji kebanyakkanya warga emas berusia 60 tahun ke atas dimasukkan ke hospital Tabung Haji kerana menghidap pelbagai komplikasi penyakit sejak mereka tiba di kota Mekah 27 Oktober lepas, kata Pengarah Hospital Tabung Haji di Aziziah, Dr Mat Noh Karim.

Bagaimanapun, katanya daripada jumlah itu cuma 29 pesakit yang masih dirawat di hospital Aziziah manakala 32 pesakit lagi dirawat di hospital Tabung Haji di Sisya.

"Kebanyakan jemaah haji yang dimasukkan ke hospital adalah kerana masalah jantung dan pernafasan," katanya dalam taklimat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Gen (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang melawat hospital Aziziah di sini hari ini.

Dr Mat Noh berkata kesemua pesakit yang masih menerima rawatan di hospital Aziziah dan Sisya akan dibawa dengan ambulans ke padang Arafah esok untuk wukuf walaupun untuk cuma beberapa minit.

Setelah mendengar taklimat, Jamil Khir kemudian menemui pesakit yang sedang menerima rawatan dan menasihati mereka supaya kuatkan semangat untuk cepat sembuh supaya dapat menjalankan ibadah haji dengan sempurna.

Bercakap kepada petugas media Tabung Haji kemudian, Jamil Khir melahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan kerana telah meminjamkan doktor, jururawat serta kakitangan sokongan yang lain sebagai petugas perubatan Tabung Haji.

"Kesemua anggota petugas perubatan telah menunjukkan semangat serta komitmen yang tinggi dalam menjalankan tanggungjawab memberikan rawatan yang sempurna kepada jemaah haji dan ini dapat dilihat daripada rasa puashati yang disuarakan oleh pesakit ketika saya menemui mereka," katanya.

Ditanya tentang kemungkinan untuk menambah bilangan petugas perubatan pada musim haji tahun depan, Jamil Khir berkata perkara ini akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Kementerian Kesihatan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan khidmat daripada doktor yang bertugas dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi musim haji tahun depan sekiranya ada keperluan. BERNAMA

Artikel Lain