suria

Kastam Selangor Rampas 367 Kereta Mewah Tanpa AP Bernilai RM55 Juta

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor merampas 367 buah kereta mewah pelbagai jenis bernilai RM55.1 juta termasuk cukai, atas kesalahan tidak memiliki permit import (AP) yang sah sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah KDRM Datuk Seri Ibrahim Jaapar berkata kereta mewah itu kebanyakannya dibawa masuk ke negara ini dari Jepun dan United Kingdom.

"Bulan ini sahaja sebanyak 50 buah kereta telah dirampas KDRM Selangor dan sepanjang tahun ini juga sebanyak 150 buah kereta mewah telah dilepaskan KDRM Selangor selepas pengimportnya memperolehi AP. "Kebiasaannya kita akan beri notis sebulan untuk pengimport kemukakan AP dan kalau gagal berbuat demikian kita akan lucut hak mereka ke atas kereta terbabit sebelum keretakereta itu dilelong," katanya kepada pemberita di Wisma Kastam Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini hari ini.

Ibrahim berkata kesemua kereta itu ditahan di bawah Perintah Kastam Mengenai Larangan Import 2008 kerana gagal memiliki AP yang sah.

Selain itu, beliau berkata KDRM Selangor juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup 10.2 juta rokok putih bernilai RM6.49 juta termasuk cukai yang dibawa masuk dari Shekou, China menggunakan sebuah kapal ke Pelabuhan Utara di sini, semalam.

Katanya bertindak atas maklumat, bahagian penguatkuasaan Kastam Selangor menahan satu unit kontena kerana dipercayai membuat ikrar tidak benar ke atas dagangan yang diimport.

"Dagangan diikrar sebagai 850 karton "plastics plants" dan hasil semakan mendapati sindiket menggunakan nama serta alamat pengimport yang tidak wujud. Pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu dimuatkan dengan rokok putih berjenama yang tidak mempunyai setem cukai dan tiada tanda amaran kerajaan Malaysia," katanya. Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas pengimport serta agen perkapalan dan seorang suspek telah ditahan untuk membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim berkata sehingga semalam, KDRM di seluruh Malaysia berjaya mematahkan sebanyak 3,719 kes cubaan menyeludup dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM213.6 juta dan keseluruhan duti atau cukai berjumlah RM219.6 juta.

Katanya, antara barangan utama yang diseludup ialah rokok, tembakau, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan, barangan elektrik, beras, tayar dan barangan larangan lain seperti besi buruk, kertas terpakai, kayu dan ubat-ubatan. BERNAMA

Artikel Lain