suria

Dr K. H Wang Menang Anugerah Ushawan Wanita Nasional 2009

KUALA LUMPUR: Dr K H Wang DARI Smart Reader Worldwide Sdn Bhd diumumkan sebagai pemenang Anugerah Usahawan Wanita Kebangsaan 2009, di sini semalam.

Anugerah yang mengiktiraf pencapaian usahawan wanita yang mampu membawa syarikat mereka ke puncak kejayaan itu menyaksikan Helen Elizabeth Leong dari Ms Read (M) Sdn Bhd memenangi tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Noraini Soltan dari Sipro Plastic Industries Sdn Bhd.

Anugerah 'Usahawan Luar Biasa' bagi mengiktiraf kejayaan usahawan yang melalui cabarancabaran luar biasa dalam memajukan perniagaan dirangkul oleh Ar Nafisah Radin dari NR Architect & NR Interior Design.

Anugerah Usahawan Platinum, bagi mengiktiraf usahawan berusia 60 tahun ke atas pada 31 Ogos, 2009 dan masih bergiat cergas dalam perniagaan dimenangi oleh Datin Dr Clara L. Chee dari Clara International Beauty Group.

Pemenang-pemenang yang dipilih daripada 10 peserta akhir yang layak bagi anugerah itu. Anugerah tersebut disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Acara itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensinya, Perbadanan SME Malaysia.

Terdahulu, Mustapa berkata anugerah itu diadakan sebagai satu cara menyuarakan penghargaan tinggi negara terhadap peranan usahawan wanita di negara ini.

Beliau berkata anugerah itu bukan sahaja diasaskan kepada kecekapan perniagaan usahawan itu sendiri, malah juga berdasarkan keupayaan pengurusan dan kewangan perniagaan, serta visinya dalam menguruskan syarikat.

"Kita menghargai keupayaan mereka mengimbangi peranan mereka, komitmen dan kekuatan luar biasa mereka dalam membimbing dan menguruskan rumah tangga di samping perniagaan.

"Inilah kualiti yang membezakan ushawan wanita daripada rakan perniagaan lelaki mereka: keupayaan memikul pelbagai tanggungjawab tertulis dalam DNA mereka," tegasya. BERNAMA

Artikel Lain