suria

Banjir Di Pahang dan Kelantan Semakin Pulih, Terengganu Tidak Berubah

KUALA LUMPUR: Banjir di Kelantan dilapor semakin pulih dengan bilangan mangsa yang dipindahkan menurun kepada 2,444 berbanding 2,984 orang pada sebelah pagi manakala di Perak bilangan mangsa banjir kekal pada 562 orang.

Keadaan banjir di Pahang pula hampir pulih sepenuhnya selepas hanya lima orang daripada satu keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir manakala semua jalan utama boleh dilalui semua kenderaan. Di Terengganu banjir di beberapa daerah masih bertahan, namun keadaan di Kemaman kembali pulih dengan semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masingmasing petang ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Terengganu berkata berikutan perkembangan terbaru itu, Kemaman menjadi daerah ketiga pulih dari banjir selepas Besut dan Setiu, semalam.

Beliau berkata sehingga pukul 4 petang ini, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 48 buah pusat pemindahan di Terengganu ialah 5,822 orang iaitu 1,171 di Kuala Terengganu, Marang (1,146), Dungun (3,407) dan Hulu Terengganu (98).

Katanya, semua jalan utama kini boleh dilalui kenderaan kecuali jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu yang ditutup kepada semua kenderaan kerana Jalan Sungai Tong-Pelong ditenggelami air 0.8 meter. Beliau berkata Sungai Setiu, di Kampung Bukit masih mencatat bacaan melepasi paras bahaya, iaitu 13.35 meter (bahaya 12m) manakala sungaisungai yang lain kembali mencatat bacaan normal.

Cuaca panas sepanjang hari di Kelantan hari ini menjadikan keadaan banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa banjir petang ini semakin menurun kepada 2,444 orang berbanding 2,984 orang pagi tadi.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri berkata, sehingga petang ini seramai 651 keluarga masih berada di pusat pemindahan melibatkan empat jajahan yang masih dibuka di Kelantan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai dan Machang.

"Kesemua pusat pemindahan di keempatempat jajahan itu menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir dengan jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa pemindahan tertinggi iaitu 1,291 orang.

"Manakala jajahan kedua tertinggi menempatkan mangsa banjir adalah jajahan Tumpat iaitu seramai 854 orang, Kuala Krai (288 orang) dan Machang (11 orang)," katanya kepada Bernama hari ini.

Jurucakap itu berkata cuaca baik sejak semalam turut menyaksikan hanya lima lagi jalan yang masih ditutup kepada lalulintas, iaitu satu jalan ditutup kepada semua kenderaan dan empat jalan ditutup kepada kenderaan ringan sahaja.

"Jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti di jajahan Tumpat manakala empat jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan itu ialah Jalan Pohon Tanjung dan Jalan Keselamatan Pengkalan Kubor, masing-masing di jajahan Tumpat," katanya.

Menurutnya, dua lagi jalan yang ditutup ialah di jajahan Pasir Mas iaitu jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang(Jalan Lama) Kampung Siram dan Jalan Pohon Tanjung-Meranti.

Sementara itu, keadaan paras air sungai pula tidak banyak berubah bagaimanapun dilaporkan menunjukkan penurunan berbanding pagi tadi dengan hanya satu sungai masih berada di atas paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang.

"Sungai Kelantan di jambatan Guillemard dan Tambatan Diraja berada di atas paras amaran manakala Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Lebir di Tualang pula berada di atas paras berjagajaga," katanya.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, mangsa banjir kini ditempatkan di Balai Raya Kampung Kundang Patah, Raub setelah rumah mereka di Kampung Tasik Ria Sementah dinaiki air semalam.

"Daerah Kuantan yang menempatkan mangsa seramai 31 orang dari Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor telah dibenarkan pulang kira-kira 10.30 pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Di Perak jumlah mangsa banjir di daerah Kerian sehingga pukul 5 petang ini masih kekal seramai 562 orang.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata mereka masih ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan yang masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, dan Sekolah Kebangsaan Matang Buluh.

Mereka adalah mangsa banjir berasal dari Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima, katanya ketika dihubungi hari ini. Mat Fauzi Nayan berkata air di kampung terbabit masih bertahan sedalam satu meter sejak dua minggu lepas akibat limpahan daripada empangan Kolam Bukit Merah serta Sungai Beriah. BERNAMA

Artikel Lain