suria

Tian Chua Mohon Maaf Kepada Sidang Dewan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang Chua Tian Chang (PKRBatu) hari ini memohon maaf kepada sidang Dewan Rakyat kerana hanya bergantung kepada maklumat laman web semasa membahaskan isu berkaitan 'solar hybrid' di Parlimen dua minggu lalu.

Chua berkata beliau ingin menarik balik kenyataannya yang turut menyebut tentang pemilikan kontrak oleh syarikat Shorefield Sdn Bhd.

"Saya telah mengatakan satu syarikat iaitu Shorefield Sdn Bhd telah dapat kontrak dan saya, mengikut 'website' syarikat ini, telah menyenaraikan nama Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai pengarahnya.

"Kemudian saya dimaklumkan bahawa timbalan menteri itu telah 'resign'(letak jawatan) dari syarikat itu, jadi saya mohon maaf kerana saya hanya bergantung kepada maklumat dalam website," katanya semasa mencelah pada pergulungan perbahasan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah oleh Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Sebelum ini pada perbahasan di peringkat polisi, Chua telah mempersoalkan kewajaran pemberian kontrak penjanaan elektrik menggunakan tenaga solar untuk negeri Sabah, kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan seorang timbalan menteri. BERNAMA

Artikel Lain