suria

Sepuluh Pelajar Asing Edar Dadah Bernilai RM63,000 Ditahan

SHAH ALAM: Sepuluh pelajar rakyat asing yang disyaki mengedar dadah jenis heroin dan ganja, ditahan dan polis merampas 1,280 gram dadah yang dianggar bernilai RM63,000 dalam dua operasi di sekitar Lembah Klang semalam.

Dalam operasi pertama semalam, polis menahan empat lelaki rakyat Nigeria serta merampas dua bungkusan plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 925 gram ketika membuat pemeriksaan di hadapan sebuah hotel di Subang Jaya, pada kira-kira pukul 8.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata keempatempat suspek berusia dalam lingkungan 23 dan 28 tahun itu dan menuntut di kolej berasingan sekitar Lembah Klang itu, disyaki mengedar dadah untuk pasaran luar negara.

"Kesemua mereka direman sehingga 28 Nov dan kami juga telah menghantar surat kepada kolejkolej terbabit bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai penuntut terbabit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Nordin berkata dadah yang dirampas daripada keempatempat penunut itu dianggar bernilai RM60,000 dan polis turut merampas wang tunai RM4,740 dan US$5,000 daripada mereka.

Sementara itu dalam satu lagi operasi polis menahan enam penuntut, iaitu tiga rakyat Nigeria dan masingmasing seorang rakyat Arab Saudi, Yemen dan Somalia di sebuah pangsapuri di Taman Desa Millenium, Puchong.

Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah beg berwarna hitam mengandungi daun kering mampat disyaki ganja seberat 355 gram yang dianggar bernilai RM3,000 serta wang tunai RM3,000.

Kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 23 tahun kini direman sehingga 30 November bagi membantu siasatan, kata Nordin.

Beliau berkata ujian air kencing yang dijalankan terhadap keenam-enam mereka mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis ganja.

Nordin berkata polis mendapati ramai penuntut asing terutama rakyat Nigeria terlibat dalam pengedaran dadah dan sejak awal tahun ini, polis mengesan lebih 20 kes seumpama itu. BERNAMA

Artikel Lain