suria

Kerajaan Selangor Tidak Boleh Umum Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor tidak boleh mengumumkan perincian laporan siasatan tanah runtuh Bukit Antarabangsa seperti yang dijanjikan sebelum ini setelah gagal mengubah status laporan itu yang diklasifikasikan sebagai 'rahsia' oleh Kementerian Kerja Raya.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kementerian Kerja Raya hari ini memaklumkan tidak boleh membuat keputusan mengenai perkara tersebut kerana dokumen itu telah diklasifikasi 'rahsia' oleh Jemaah Kabinet.

"Oleh yang demikian Kerajaan Negeri tidak boleh meneruskan keputusan untuk mengumumkan perincian laporan tersebut," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata bagaimanapun kerajaan negeri menggesa Kerajaan Persekutuan supaya membenarkan penyiaran laporan tersebut kerana kandungannya penting diketahui oleh orang ramai bagi perbincangan dalam usaha mempercepatkan proses pengeluaran peraturan bagi pembangunan di kawasan cerun Bukit Antarabangsa dan kawasan tanah tinggi lainnya di Selangor.

"Setelah membaca laporan tersebut, Kerajaan Negeri percaya ia tidak bersifat prejudis kepada kepentingan dan keselamatan negara. Sebaliknya pendedahan kandungan laporan boleh menjaga kepentingan dan keselamatan orang ramai," katanya. Abdul Khalid sebelum ini mengumumkan bahawa laporan siasatan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa yang mengorbankan lima nyawa pada 6 Disember tahun lepas akan didedahkan kepada umum mulai semalam.

Beliau, yang mengubah status klasifikasi dokumen itu dengan menggunakan haknya sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2c, Akta Rahsia Rasmi, berkata orang ramai dapat memperoleh kandungan laporan berkenaan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Buku laporan itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan dijual dengan harga RM80.

Bagaimanapun tinjauan Bernama di MPAJ hari ini mendapati buku laporan itu belum lagi dapat dijual kepada orang ramai seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya orang ramai dan pihak media yang mahu membeli buku itu hanya diminta meninggalkan nama dan nombor telefon di kaunter yang disediakan.

Difahamkan pihak MPAJ akan menghubungi mereka yang sudah mendaftar nama untuk memiliki buku berkenaan bagi mengambilnya kelak. BERNAMA

Artikel Lain